Linda Onn masih rindu suara ke udara - Utusan Malaysia

Linda Onn masih rindu suara ke udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun sudah enam tahun tidak lagi mengendalikan rancangan radio, Linda Onn yang diakui ramai sebagai suara emas, mengakui kerinduannya untuk kembali menyapa pendengar menerusi corong radio masih belum hilang.

Sibuk menguruskan perniagaan nasi ayamnya yang kini mempunyai lima cawangan mungkin mengisi sebahagian besar masa Linda, tetapi dunia penyiaran tetap dekat dengannya, apatah lagi bidang itu memang diimpikan sejak kecil lagi.

Menerusi sesi temu bual yang diadakan bersama tuan badan sendiri, Linda tidak berselindung mengakui peluang untuk kembali ke radio masih dinantikan, biarpun buat masa ini tumpuannya lebih terarah kepada perniagaan yang diusahakan sejak 2004 itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang sangat rindulah mahu dengar suara saya ke udara. Lama tidak mengendalikan rancangan radio, sudah tentu ada rasa rindu terhadap pekerjaan yang pernah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan saya.

“Saya masih terbuka sekiranya ada tawaran untuk kembali ke radio. Saya tidak pernah menutup peluang itu kerana bidang penyiaran memang dekat dengan diri saya.

“Radio bukan hanya tempat untuk saya bekerja, tetapi bidang yang memang saya minati sejak kecil lagi. Sebab itu, apabila ditanya tentang kemungkinan kembali ke konti, saya memang masih menyimpan keinginan untuk merasai pengalaman itu semula,” katanya kepada Pancaindera, baru-baru ini.

Bukan sehari dua Linda mengenali dunia penyiaran kerana minatnya terhadap bidang itu sudah berakar sejak zaman sekolah lagi, sebelum peluang menjadi penyampai radio hadir selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Memang cita-cita saya mahu menjadi penyampai radio sejak kecil lagi. Selepas tamat SPM, seorang pakcik di kawasan perumahan saya tanya sama ada saya berminat bekerja di radio atau tidak, lebih kurang mahu tawar saya bekerja. Pada masa itu, saya tengah sibuk dengan SPM dan saya tidak dapat terima tawarannya.

“Selepas habis SPM, pakcik itu datang cari saya semula. Saya pergi temu duga dan diterima bekerja, selepas itu perjalanan saya berterusan dari Best 104 ke Era dan beberapa stesen radio lain,” katanya.

Perjalanan Linda dalam dunia penyiaran terus berkembang apabila dia menyertai Era pada 1 Ogos 1998 ketika berusia 21 tahun, sekali gus mengukuhkan namanya sebagai antara penyampai terawal stesen itu bersama barisan penyampai terkenal seperti Halim Othman, Kudsia Kahar dan Faizal Ismail.

Satu Malaysia kenal Linda Onn

Sepanjang bergelar penyampai radio, tidak ada sekelumit pun dalam hati Linda untuk meletakkan populariti sebagai matlamat utama kerana baginya, tugas di konti sekadar melunaskan tanggungjawab menyampaikan maklumat dan menghiburkan pendengar.

Kata Linda, pengalaman menerima anugerah dan disapa oleh pendengar ketika berada di luar membuatkannya sedar bahawa pekerjaan yang dilakukan selama ini sebenarnya mendapat tempat dalam hati peminatnya.

“Dalam fikiran saya, kita hanya pergi kerja, masuk studio dan bercakap, kemudian pulang seperti biasa. Saya tidak fikir sangat tentang perkara lain kerana itu memang tugas saya setiap hari.

“Apabila di luar konti, tiba-tiba ada orang kenal saya dan hargai apa yang saya lakukan. Pada waktu itu barulah saya sedar rupa-rupanya orang di luar sana mengikuti kerja saya.

“Rupa-rupanya melalui kerja yang saya lakukan itu, saya menyumbang sesuatu kepada orang ramai. Mungkin daripada segi informasi yang diberikan atau hiburan yang saya sampaikan kepada pendengar,” katanya.

Malah, dia mengakui perkara yang membuatkannya terus bersemangat ketika bekerja adalah apabila pendengar mengingati setiap perkara yang pernah disampaikan menerusi corong radio.

“Apabila pendengar masih ingat suara saya dan apa yang pernah saya sampaikan, itu sebenarnya satu kepuasan. Mereka bukan sahaja mendengar, tetapi masih mahu mendengar saya bercakap dan perkara itulah yang membuatkan saya tidak penat untuk bekerja,” katanya.

Sepanjang bergelar penyampai radio, Linda lebih menumpukan perhatian kepada tugasnya menyampaikan maklumat dan hiburan kepada pendengar, tanpa menyangka kerjaya itu turut melonjakkan namanya dalam industri hiburan.

“Kalau tujuan saya hanya mahu dikenali ramai, mungkin saya akan memilih bidang lain seperti lakonan atau nyanyian. Tetapi saya tidak sangka pekerjaan di dalam konti itu akhirnya membuatkan satu Malaysia mengenali saya,” katanya.

Lupakan kisah silam, wartawan tetap kawan

Mengulas dakwaan dirinya pernah berdepan tindakan digam oleh media sekitar 2013 hingga 2014, Linda memilih untuk tidak mengulas lanjut apabila diajukan soalan mengenai perkara tersebut.

“Saya rasa saya tiada jawapan lanjut mengenai pernyataan itu. Lupakanlah yang itu kerana saya tidak mahu mengulas mengenainya,” katanya.
Pun begitu, Linda menegaskan bahawa dia menghormati tugas.

Wartawan yang bertanggungjawab mendapatkan berita dan cerita untuk disampaikan kepada khalayak, sama seperti tanggungjawab yang pernah dipikulnya ketika berada dalam bidang penyiaran.

“Wartawan ada kerja mereka sendiri untuk mendapatkan berita dan cerita, mungkin sesuatu yang sensasi ataupun tidak. Apa pun, saya perlu menghormati pekerjaan mereka kerana itu memang tanggungjawab yang perlu dilakukan,” katanya.

Malah, Linda menganggap wartawan yang pernah ditemuinya sepanjang berada dalam industri hiburan sebagai rakan, tanpa mengira sama ada mereka masih aktif bekerja atau sudah meninggalkan bidang kewartawanan.

“Bagi saya, wartawan yang saya jumpa semuanya kawan. Ramai yang masih ada dan ada juga yang sudah tiada dalam industri, tetapi apabila berjumpa, kami masih boleh bertegur sapa seperti biasa,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini