Berhenti salahkan pemansuhan UPSR

Berhenti salahkan pemansuhan UPSR

ISU penjodoh bilangan menunjukkan pelajar perlu benar-benar memahami dan menguasai ilmu, bukan sekadar menghafalnya untuk peperiksaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini tular di media sosial soal dakwaan terdapat beberapa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini mengalami kesukaran menjawab soalan mata pelajaran Bahasa Melayu berkaitan penjodoh bilangan.

Tidak habis di situ, timbul juga dakwaan tentang adanya calon SPM mempersoalkan tentang kepentingan mempelajari topik tersebut, yang mana pada mereka mungkin dianggap tidak penting dalam kehidupan.

Topik ini lantas mencetuskan pelbagai reaksi serta perdebatan dalam kalangan warga maya. Ada yang meluahkan rasa marah, kesal, risau dan tidak kurang juga yang menuding jari kepada pihak yang mereka anggap bersalah dalam hal ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seperti biasa, tidak ketinggalan juga suara-suara lantang yang secepat kilat bertindak menyalahkan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai punca pelajar gagal menguasai penjodoh bilangan.

Setiap kali mendengar masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar di negara ini, sama ada akademik mahupun sosial, sudah tentu akan ada pihak-pihak secara pantas mendakwa ketiadaan UPSR itulah penyebabnya.

Walhal, penjodoh bilangan yang diajar di sekolah rendah semasa UPSR belum dimansuhkan dan masih diajar pada hari ini. Maka, ketiadaan UPSR tidak membawa sebarang perbezaan sekiranya pelajar benar-benar memberi tumpuan dan menghayati pelajaran.

Terdapat pihak yang berpendapat hanya peperiksaan di peringkat pusat seperti UPSR yang boleh menilai keupayaan murid dalam menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Padahal, UPSR bukanlah satu-satunya cara untuk memantau serta menilai prestasi pelajar ketika di sekolah rendah.

UPSR tidak dimansuhkan tanpa sebarang gantian untuk penilaian prestasi murid di sekolah. Sekolah masih mempunyai cara penilaian sendiri dan murid-murid masih menduduki peperiksaan di sekolah.

Tambahan pula, ibu bapa seharusnya memantau kebolehan anak-anak mereka dalam semua bidang termasuk bidang akademik. Ibu bapa harus menyedari sekiranya anak mereka gagal menguasai 3M, tanpa perlu menggunakan keputusan UPSR sebagai neracanya.

Adakah selama ini pihak sekolah hanya menitikberatkan pendidikan pelajar kerana prestasi buruk dalam peperiksaan pusat boleh menjejaskan kedudukan sekolah dalam penarafan negeri dan negara?

Adakah hanya kerana tiada lagi UPSR maka pihak sekolah terus melepaskan batuk di tepi tangga dan tidak lagi membuat penilaian prestasi pelajar, sedangkan keupayaan 3M dapat dinilai melalui latihan harian pelajar?

PERBETULKAN CARA

Masalah ini sebenarnya berpunca daripada cara mendekati pengajaran ilmu. Kita sering menekankan unsur penghafalan secara berlambak-lambak. Lebih banyak dapat dihafal dan dicurahkan semula ke atas kertas peperiksaan, lebih cemerlanglah murid tersebut akan dilihat.

Oleh kerana sekolah dan ibu bapa sering menekankan hal ini secara sedar atau tidak, murid melihat pembelajaran sebagai satu proses yang bosan dan susah, serta tidak berkaitan dengan kehidupan secara amnya.

Walhal, mereka sepatutnya belajar menguasai ilmu yang mereka pelajari untuk diterapkan dalam kehidupan, bukan sekadar menghafal untuk menjawab peperiksaan semata-mata, lalu terus melupakannya kerana dianggap tidak penting lagi.

Namun, sebahagian daripada kita masih beranggapan tanpa lambakan peperiksaan sebegini, sistem pendidikan tidak mampu mendidik anak bangsa menjadi insan yang bijak pandai.

Rakyat mahukan sistem pendidikan yang lebih baik bagi memastikan pelajar mampu berada di pentas dunia, namun ironinya pada masa sama, kita tetap tidak mahu berganjak daripada sistem pendidikan yang lama.

Konsep pendidikan bagi kebanyakan dalam kalangan rakyat kita masih berpaksikan peperiksaan semata-mata. Kita sudah mengagung-agungkan peperiksaan sehingga apabila ada institusi yang cuba menggantikan peperiksaan dengan penilaian lain, mereka ditekan untuk kembali ke cara lapuk.

Pelajar harus dibenarkan untuk meneroka serta menikmati keseronokan belajar tanpa dibebani dengan sistem yang hanya berkiblatkan peperiksaan demi peperiksaan semata-mata. Sistem sebegini hanya akan menghalang pelajar daripada menjadi lebih kreatif dan berfikir di luar kotak.

Penilaian dan pentaksiran tidak boleh hanya menguji tahap menghafal murid semata-mata tetapi lebih penting lagi cara mereka menerapkannya di luar bilik darjah.

Kita sudah nampak apa jadi dengan soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang sepatutnya memupukkan fikiran kritikal. Akhirnya, dijadikan soalan berskema yang perlu dihafal kerana sesetengah penilai bersikap culas. Inilah masalah terbesar dengan penilaian yang berteraskan peperiksaan semata-mata.

Sistem pembelajaran yang holistik amatlah penting dalam membentuk insan yang serba boleh dan luas pemikirannya, bukannya menjadi pelajar yang hanya sekadar sibuk menghafal tanpa menguasai ilmu tersebut.

Kita tidak boleh mengekang para pelajar daripada melalui proses pembelajaran yang holistik dan dinamik, sesuai dengan peredaran zaman.

Pelajar tidak boleh selama-lamanya dikongkong dalam persekitaran pembelajaran yang kaku dan malar, seperti apabila kita mengutamakan peperiksaan demi peperiksaan.

Akibatnya ramai pelajar yang tidak dapat merasakan keseronokan mempelajari sesuatu yang baharu, di luar skop yang harus mereka pelajari untuk mendapat gred yang tinggi.

Pengalaman saya apabila membuat kunjungan ke sebuah sekolah di Okayama, Jepun tahun lalu mendedahkan cara pembelajaran yang jauh lebih holistik berbanding amalan di Malaysia.

Suasana pembelajaran di sekolah tersebut bukan sahaja terbuka tetapi setiap langkah kehidupan murid di sekolah dijadikan sebahagian daripada pembelajaran mereka. Oleh itu, mereka tidak merasa terbeban kerana perlu belajar, tanpa menyedari sebenarnya sedang menjalani pengajian.

Pendidikan bukan sekadar menyuap ilmu untuk dihafal oleh para pelajar bagi berjaya dalam peperiksaan semata-mata, ibarat melatih kecerdasan buatan (AI).

Kita juga harus berani bergerak ke depan dan bukannya terus tenggelam dalam nostalgia serta membiarkan minda kita terpenjara selama-lamanya.

Jika kita tidak berubah, kelak kita hanya akan menyesal dengan keengganan dan kedegilan kita waktu kini. –UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini