PEPERIKSAAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dahulunya merupakan satu penanda aras penting bagi murid di peringkat sekolah rendah kini dihapuskan. Isu tiadanya peperiksaan ini sering kali menjadi perbincangan dalam kalangan pendidik, ibu bapa dan masyarakat umum.
Walaupun matlamat utama penghapusan UPSR untuk mengurangkan tekanan terhadap murid, namun ramai berpendapat tiadanya peperiksaan ini menyebabkan ketidakberanian untuk menyatakan pendapat yang jujur tentang impak terhadap sistem pendidikan negara.
Salah satu kesan yang ketara ialah kurangnya tumpuan terhadap kaedah pengajaran yang efektif. Sebilangan guru berasa kurang bersemangat untuk menyediakan pengajaran yang berkualiti. Dalam sistem lama, peperiksaan seperti UPSR memberi tekanan kepada guru untuk memastikan pelajar mencapai tahap pencapaian tertentu. Ini membuatkan proses pengajaran menjadi lebih tersusun dan teratur. Namun, apabila peperiksaan ini dihapuskan, banyak guru merasa kaedah pengajaran mereka tidak lagi terarah dan terkadang agak longgar.
Suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah kini kelihatan lebih lesu berbanding dahulu kerana tumpuan terhadap pencapaian akademik menjadi kurang. Sebahagian guru mungkin tidak lagi memberikan penekanan yang sepatutnya kepada subjek penting seperti matematik dan sains, kerana tiada tekanan untuk mencapai keputusan yang baik. Proses pembelajaran yang lebih santai seolah-olah tidak memberi rangsangan kepada pelajar untuk berusaha lebih keras. Akibatnya, murid-murid tidak didorong untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.
Kementerian Pendidikan perlu mengakui hakikat kesan penghapusan UPSR menimbulkan beberapa cabaran dalam sistem pendidikan. Guru-guru kini menghadapi kekeliruan dalam merancang dan melaksanakan kurikulum yang tidak lagi berdasarkan peperiksaan besar. Mereka perlu mencari cara baharu untuk mengukur tahap penguasaan pelajar terhadap subjek-subjek yang diajar, namun kadangkala kaedah yang ada kurang memberi kesan yang diharapkan.
Selain itu, penghapusan peperiksaan ini memberi kesan kepada budaya belajar dalam kalangan pelajar. Sebelum ini, UPSR memberi pelajar matlamat yang jelas untuk dikejar.
Pendidikan negara juga kini berdepan cabaran untuk menilai potensi sebenar setiap pelajar. Sebelum ini, peperiksaan UPSR memberi gambaran yang jelas mengenai kebolehan akademik pelajar pada peringkat awal. Namun, setelah dimansuhkan, kaedah penilaian yang digunakan dalam bilik darjah tidak cukup menyeluruh untuk menilai pencapaian dengan tepat. Oleh itu, ada pelajar yang tidak dinilai potensinya dan ini boleh menyebabkan mereka tidak diberi perhatian yang sewajarnya.
Ibu bapa juga turut merasa risau tentang perkembangan akademik anak-anak. Tanpa peperiksaan yang dapat menunjukkan prestasi anak, mereka kurang tahu apakah tindakan yang perlu diambil untuk memastikan anak mereka berada di landasan yang betul. Terdapat kebimbangan pelajar tercicir dan tidak mendapat sokongan yang diperlukan. Ini akhirnya menjejaskan kepercayaan ibu bapa terhadap sistem pendidikan yang ada.
Namun, di sebalik kebimbangan ini, terdapat juga pihak yang menyokong penghapusan peperiksaan UPSR. Mereka berpendapat bahawa peperiksaan sering memberi tekanan kepada murid, guru, dan ibu bapa. Sistem pendidikan yang lebih menekankan kepada pembelajaran berterusan dan penilaian berasaskan projek atau tugasan boleh memberi ruang yang lebih besar kepada kreativiti dan pemikiran kritikal pelajar. Walaupun cabaran ini wujud, sistem pendidikan perlu bergerak ke arah yang lebih inklusif dan berfokus kepada perkembangan holistik pelajar.
Apa yang pasti, tiada satu sistem pendidikan yang sempurna. Kementerian Pendidikan perlu terus menilai dan memperbaiki sistem yang ada agar ia dapat memberi manfaat kepada semua pihak. – UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Taman Bintang, Parit Sulong










