SEMPENA Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, Pergerakan Puteri UMNO nekad mahu mengubah kedudukannya daripada sekadar sayap parti kepada wadah yang lebih terserlah dalam menentukan arah masa depan UMNO.
Dengan golongan muda semakin dominan dalam komposisi pengundi, justeru suara wanita muda tidak boleh hanya bergema dalam persidangan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui dasar, kepimpinan dan keterwakilan.
Bagi ketuanya, DATUK NURUL AMAL MOHD. FAUZI, Puteri juga mahu membuktikan wanita berusia 40 tahun ke bawah bukan sekadar pelapis tetapi mempunyai keupayaan untuk memimpin, bertanding dan membawa suara generasi mereka.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR dan jurugambar, SYAKIR RADIN, beliau turut mengulas tentang tuntutan, cabaran dan hala tuju sayap parti itu.
UTUSAN: Fokus Puteri untuk PAU kali ini memandangkan aura Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sedikit berbeza?
NURUL AMAL: Ucapan Dasar Puteri membawa mesej tentang masa depan, khususnya peranan Puteri sebagai kelompok pemimpin masa depan UMNO dan negara.
Dengan had umur 40 tahun ke bawah, wanita muda berdepan pelbagai cabaran termasuk kewangan, pekerjaan, kos sara hidup, kesihatan mental, rumah tangga serta peningkatan ibu tunggal dan pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai anak.
Sebab itu, lebih ramai wanita muda perlu diberi ruang sebagai calon dan wakil parti. Mereka bukan sekadar mewakili kawasan tetapi turut membawa suara wanita muda dalam parti dan masyarakat.
Isu yang diketengahkan dalam PAU kali ini dekat dengan realiti kehidupan mereka. Wakil Puteri dari negeri juga akan membangkitkan pelbagai perkara berkaitan ekonomi, sosial dan kebajikan.
Pada masa sama, hala tuju politik UMNO, persediaan menghadapi PRU dan masa depan parti tetap dibincangkan tetapi secara lebih ilmiah, berasaskan fakta, penelitian dan penyelesaian, bukan sekadar retorik.
Kita perlu sedar Puteri mewakili suara wanita muda. Justeru, setiap isu yang dibawa perlu difahami secara mendalam agar dapat diterjemahkan dalam dasar dan perjuangan parti.
Apa lagi perkara yang akan disentuh dalam ucapan dasar?
Buka ruang untuk Puteri memimpin. Kalau kita lihat komposisi pengundi, golongan muda semakin mendominasi. Jadi, jika mahu menarik lebih ramai anak muda untuk melihat perjuangan UMNO dan bersama parti, Puteri mesti diberikan ruang untuk tampil, memimpin dan membawa suara generasi mereka.
Kita tidak nafikan ruang memang diberikan. Namun, kita perlu terus menyuarakannya supaya tidak dilupakan. Dalam setiap proses membuat keputusan, kita mahu pimpinan sedar Puteri juga perlu diberikan ruang untuk memainkan peranan.
Bercakap soal calon wanita muda, kalau kita lihat dalam Puteri, seolah-olah tidak nampak siapa lagi yang ke depan selain Datuk?
Memang ada yang risau, takut salah cakap dan komen, nanti orang ambil sebagai pendirian Puteri. Kalau yang sudah biasa, okaylah. Jika berdepan perkara yang tular, masing-masing boleh relaks dan tidur lena.
Sekarang saya sedang melatih beberapa orang. Insya-Allah, selepas PAU ini, orang akan nampak perubahan. Kita akan susun gerak kerja dengan lebih sistematik dan mengenal pasti Puteri yang mempunyai bakat serta potensi untuk diketengahkan sebagai pemimpin masa depan.
Mereka perlu diberikan ruang, bimbingan dan pengalaman. Insya-Allah, usaha ini dapat melahirkan lebih ramai pemimpin wanita muda dan mengukuhkan momentum UMNO menjelang PRU akan datang.
Adakah Puteri mempunyai pendekatan seperti Pemuda UMNO ketika zaman Khairy Jamaluddin, yang bukan hanya ketua tampil ke depan tetapi turut memberi ruang kepada beberapa wakil menjadi jurucakap dan membawa suara di peringkat sayap parti?
Kalau kita lihat dari segi kepakaran, Puteri memang mempunyai ramai yang berbakat. Dalam bidang ekonomi, contohnya, kita ada Nooryana Najwa Najib. Dalam bidang undang-undang pula, ada peguam dalam kalangan exco. Kita juga ada akauntan, termasuk bendahari.
Ada juga dua atau tiga orang lagi yang mempunyai kepakaran masing-masing. Cuma mungkin mereka tidak begitu menonjol atau mencari perhatian. Platform mereka setakat ini lebih tertumpu kepada peranan sebagai exco dan liputan media yang diterima juga tidak begitu besar.
Dalam barisan exco, tujuh daripada 40 orang pula mempunyai pengalaman atau kelulusan dari luar negara. Mereka ini memang mempunyai latar belakang dan kebolehan yang baik.
Adakah Datuk melihat suara Puteri kurang didengar?
Dulu, bila kita bercakap mengenai PAU, orang datang dengan satu harapan. Kita percaya suara yang dibawa boleh diserap menjadi dasar. Contohnya, penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga lahir daripada perbahasan dan suara yang dibawa dalam PAU.
Tetapi sekarang, kita lebih banyak menjadi jurucakap. Sama ada cadangan yang kita bawa dilaksanakan kerajaan atau tidak, kita tidak begitu pasti. Dulu kita boleh tekan dan desak. Contohnya, Puteri mahu wanita muda berusia 40 tahun ke bawah diberikan ruang dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pembuat dasar.
Sekarang pun kita ada kemukakan dua atau tiga cadangan kepada kerajaan tetapi sama ada ia diambil atau tidak, kita tidak tahu.
Apakah kelebihan Puteri yang tiada pada parti lain untuk menarik sokongan orang muda memandangkan golongan ini tidak lagi statik?
Saya selalu cakap kepada semua, sama ada di peringkat atas atau bawah, kita perlu bersama-sama. Kita berada dalam era dan generasi yang perlu menerima mereka seadanya, bukan mengharapkan mereka menyesuaikan diri dengan kita.
Saya tidak mahu Puteri dilihat hanya mempunyai satu identiti kerana generasi muda hari ini pelbagai. Jadi, biarlah Puteri melahirkan lebih ramai wakil daripada pelbagai latar belakang dan kelompok.
Kita mahu mereka melihat Puteri UMNO sebagai platform yang mesra dan selesa untuk didekati. Puteri perlu menjadi kawan kepada mereka, bukan sesuatu yang dirasakan jauh atau sukar untuk didekati.
Adakah susah untuk mendekati golongan muda hari ini?
Sekarang kita susah untuk berjumpa secara fizikal kerana mereka lebih banyak berada di telefon. Jadi, media sosial bukan lagi pilihan tetapi keperluan dan tanggungjawab untuk Puteri berada dalam ruang itu.
Adakah Puteri berani bercakap tentang isu calon setelah memenangi DUN Labu dan Serom?
Dalam keluarga kita sendiri kadang-kadang ada yang kata Puteri belum bersedia, belum mampu ke depan dan sebagainya. Tapi kita patahkan tanggapan itu.
Sebab itu kita lebih berani bercakap soal calon. Tetapi calon bukan sekadar calon. Kita perlu susun jentera, media sosial, cara menangani isu dan berdepan dengan pihak lawan.
Di Labu, calon Pakatan Harapan (PH) memang kuat kerana sudah lama bekerja di situ. Jadi, kita perlu tonjolkan kekuatan Siti Nur Umaira Hasim (ADUN Labu) dan bina keyakinan pengundi bahawa ada harapan baharu untuk DUN itu.
Masih tidak cukup pemimpin wanita muda yang ada ketika ini?
Tidak cukup. Sasaran yang selalu disebut ialah 30 peratus tetapi jumlah itu mewakili Wanita dan Puteri. Kita mahu keterwakilan wanita muda turut diberi ruang yang sewajarnya supaya sasaran 30 peratus itu dapat dicapai secara bersama. –UTUSAN










