SUARA politik hari ini tidak lagi bergantung pada pentas besar atau musim pilihan raya semata-mata. Ini kerana satu kenyataan boleh mencetuskan perdebatan, manakala satu pendirian yang tegas mampu membentuk persepsi dalam sekelip mata.
Dalam gelanggang yang semakin terbuka, kepimpinan wanita turut dituntut tampil lebih berani, bukan sekadar menggerakkan jentera tetapi memimpin wacana dan membawa suara masyarakat.
Bagi Wanita UMNO, kekuatan akar umbi yang sekian lama menjadi aset parti perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman. Generasi baharu tidak cukup didekati dengan slogan dan sentuhan bermusim. Mereka mahu melihat pemimpin yang memahami tekanan kehidupan, berani menyatakan pendirian serta mampu menawarkan penyelesaian yang nyata.
Dalam landskap itu, Exco Wanita UMNO, DATUK NURULHIDAYAH AHMAD ZAHID memilih untuk bersuara dengan caranya sendiri. Ketegasan, katanya, tidak perlu hadir bersama kekasaran, manakala kesantunan tidak seharusnya menjadi alasan untuk berdiam diri.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau juga melihat Wanita UMNO mempunyai ruang lebih besar untuk muncul sebagai kekuatan pemikiran dan kepimpinan komuniti, bukan sekadar tulang belakang ketika pilihan raya.
UTUSAN: Datuk semakin lantang, sedangkan Ketua Wanita dilihat kurang menonjol. Adakah Wanita UMNO memerlukan suara lebih tegas?
NURULHIDAYAH: Saya tidak melihatnya sebagai soal siapa lebih lantang atau siapa kurang menonjol. Setiap pemimpin mempunyai gaya, pendekatan dan tanggungjawab masing-masing.
Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ialah Ketua Wanita dan saya menghormati kepimpinan serta ruang beliau. Saya pula memilih untuk bersuara apabila merasakan sesuatu isu memerlukan penjelasan atau apabila parti diserang dengan fakta yang tidak tepat.
Bagi saya, berhemah tidak bermaksud kita perlu diam dan tegas tidak bermaksud kita perlu kasar.
Wanita memang sering dianggap sebagai ibu dalam parti. Tetapi seorang ibu bukan sekadar memujuk. Ada masanya seorang ibu perlu mempertahankan keluarganya, menegur dan bercakap tegas apabila keadaan memerlukan.
Hari ini politik bergerak sangat pantas. Kalau kita terlalu lama berdiam, orang lain akan membentuk persepsi tentang kita. Jadi Wanita UMNO perlu kekal santun tetapi pada masa sama lebih berani hadir dalam perbincangan awam.
Ada yang mengatakan Datuk ‘overshadow’ Ketua Wanita UMNO. Bagaimana Datuk melihat persepsi itu?
Saya fikir itu lebih kepada persepsi yang terbentuk kerana keterlihatan di media dan media sosial. Saya tidak pernah melihat politik sebagai pertandingan siapa paling banyak muncul atau siapa paling kuat suaranya.
Saya tahu kedudukan saya sebagai Exco Wanita UMNO dan saya menghormati struktur serta kepimpinan parti.
Kalau bersuara, itu kerana saya mempunyai pandangan dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti. Saya tidak perlu merendahkan ‘cahaya’ orang lain untuk memastikan ‘cahaya’ saya kelihatan.
Dalam sebuah organisasi yang besar, kita sebenarnya memerlukan lebih ramai pemimpin yang mampu berkomunikasi dengan masyarakat, bukan hanya seorang. Lebih ramai yang membantu menjelaskan parti, lebih baik untuk UMNO.
Strategi Wanita UMNO menarik semula sokongan wanita dan pengundi muda?
Wanita tidak boleh hanya muncul apabila pilihan raya hampir tiba. Kalau mahu wanita muda melihat UMNO sebagai parti yang relevan, kita mesti berada bersama mereka dalam persoalan kehidupan sebenar yang melibatkan kos sara hidup, pekerjaan, peluang ekonomi, penjagaan anak, pendidikan, keselamatan, kesihatan mental keluarga, keusahawanan dan masa depan anak-anak.
Pendekatan juga perlu berubah daripada sekadar “kami mahu anda menyokong UMNO” kepada “apakah masalah anda yang boleh kami bantu selesaikan?”
Wanita UMNO mempunyai rangkaian akar umbi yang sangat besar. Itu kekuatan yang luar biasa. Tetapi kekuatan tersebut perlu diterjemahkan daripada jentera parti kepada kepimpinan dalam komuniti.
Pengundi muda tidak mahu hanya mendengar slogan. Mereka mahu melihat penyelesaian, konsistensi dan keberanian pemimpin untuk bercakap tentang perkara yang mereka hadapi setiap hari.
Perlukah Wanita UMNO melakukan perubahan besar dari segi pendekatan dan kepimpinan?
Ya, dari segi pendekatan, kita mesti sentiasa berubah mengikut zaman. Dahulu kekuatan politik banyak bergantung kepada berapa ramai jentera yang kita boleh gerakkan. Hari ini kita masih memerlukan jentera tetapi kita juga memerlukan naratif, kredibiliti dan kepercayaan.
Kita boleh mempunyai ribuan jentera tetapi kalau mesej yang disampaikan tidak dipercayai masyarakat, kekuatan itu tidak akan diterjemahkan kepada undi.
Wanita UMNO mempunyai kelebihan kerana kita paling dekat dengan keluarga dan komuniti. Maka kita perlu bercakap dalam bahasa kehidupan rakyat, bukan hanya bahasa politik.
KEDUDUKAN DAN HALA TUJU UMNO
Apakah perkara paling mendesak yang UMNO perlu perbetulkan untuk kembali menjadi pilihan utama orang Melayu?
Kepercayaan. UMNO perlu memenangi semula kepercayaan orang Melayu, bukan sekadar meminta mereka kembali kerana sejarah atau nostalgia. Kita perlu memberikan sebab mengapa generasi hari ini perlu memilih UMNO.
UMNO mempunyai sejarah besar dalam pembangunan negara, pendidikan, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), pembangunan luar bandar dan pemerkasaan Melayu serta bumiputera. Tetapi generasi baharu bertanya satu perkara yang lebih penting, apa yang UMNO akan lakukan untuk masa depan saya? Sebab itu UMNO perlu kembali jelas tentang identiti, perjuangan dan tawaran kepada rakyat.
Kita tidak perlu menjadi parti lain untuk menjadi popular. UMNO perlu menjadi UMNO yang memahami peredaran zaman.
Perlukah UMNO berani mengkritik kerajaan atau rakan gabungan?
Sudah tentu. UMNO perlu menjadi parti semak dan imbang. Berada dalam kerajaan tidak bermaksud kita kehilangan hak untuk mempunyai pendirian. UMNO perlu menjadi rakan kerajaan yang bertanggungjawab, bukan sekadar bersetuju dengan segala-galanya. Jika sesuatu dasar baik untuk rakyat, kita sokong. Jika ada perkara yang perlu diperbaiki, kita perlu berani menyatakannya melalui saluran yang betul.
Bagi saya, setia kepada kerajaan tidak bermaksud membisu terhadap suara akar umbi. Malah, kekuatan sesebuah kerajaan datang apabila parti-parti di dalamnya berani membawa suara rakyat kepada meja perbincangan.
UMNO mesti tahu membezakan antara menjadi rakan yang matang dengan menjadi rakan yang hilang pendirian.
Perlukah UMNO memperkukuh identiti sendiri sebelum kerjasama dengan parti lain?
Perlu dan saya bersetuju dengan soalan ini. Kerjasama politik hanya akan kuat kalau setiap parti yang masuk ke dalam kerjasama itu sendiri mempunyai identiti yang kukuh.
Masalah timbul apabila terlalu banyak kompromi dilakukan sehingga pengundi sendiri tidak lagi tahu apa yang kita pertahankan.
Kita boleh bekerjasama tanpa kehilangan identiti. Kita boleh duduk semeja tanpa perlu menjadi serupa.
Dalam politik Malaysia yang sangat dinamik, kerjasama mungkin diperlukan tetapi kompromi politik tidak boleh sampai menjadi kompromi terhadap prinsip.
UMNO mesti jelas tentang apa yang boleh dirunding dan apa yang tidak boleh dirunding.
Jika boleh mengubah satu perkara dalam UMNO dan satu perkara dalam Wanita UMNO?
Dalam UMNO, saya mahu mengubah budaya takut kepada perbezaan pandangan. Kita mesti mempunyai keberanian untuk mendengar kritikan daripada dalam parti sendiri tanpa terus menganggap orang yang menegur sebagai tidak setia.
Kadangkala orang yang paling sayangkan rumah kita ialah orang yang berani memberitahu bumbung rumah itu sedang bocor.
UMNO mempunyai ramai pemimpin muda, profesional dan akar umbi yang mempunyai pandangan. Berikan ruang kepada mereka.
Dalam Wanita UMNO pula, saya mahu mengubah persepsi Wanita hanya jentera. Wanita UMNO sepatutnya bukan sahaja mengetuk pintu rumah ketika pilihan raya. Kita mesti berada di meja tempat dasar dibentuk, menjadi pemimpin pemikiran, bercakap mengenai ekonomi, pendidikan, teknologi, keselamatan, pekerjaan dan masa depan negara.
Wanita UMNO sudah lama menjadi tulang belakang parti. Sekarang saya mahu Wanita bukan sahaja menjadi tulang belakang UMNO tetapi turut menjadi antara wajah, suara dan pemikir masa depan parti.
KERJASAMA DENGAN PH DAN PN
Tidakkah formula kerjasama yang berbeza mengikut negeri mengelirukan pengundi?
Risiko kekeliruan memang ada dan sebab itu komunikasi politik menjadi sangat penting tetapi realiti politik setiap negeri juga berbeza. Demografi berbeza, kekuatan parti berbeza dan dinamik tempatan juga berbeza. Jadi saya memahami mengapa tidak semestinya ada satu formula yang boleh digunakan untuk semua negeri.
Namun fleksibiliti itu mesti disertai dengan satu perkara, iaitu prinsip yang konsisten. Formula boleh berbeza tetapi asas perjuangan UMNO tidak boleh berubah mengikut negeri.
Sekiranya perkara itu dapat diterangkan dengan jujur kepada akar umbi dan apa pertimbangannya, apa manfaatnya dan di mana batasnya, maka saya amat yakin masyarakat boleh memahaminya.
Yang membahayakan bukan fleksibiliti. Yang membahayakan ialah fleksibiliti tanpa penjelasan.
Apakah garis merah UMNO apabila menentukan siapa kawan dan siapa lawan?
Pada saya, garis merah itu perlu kembali kepada asas perjuangan dan perlembagaan negara. Kedudukan Islam, institusi raja-raja Melayu, hak Melayu dan bumiputera serta perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dijadikan bahan permainan politik yang memecah belahkan negara.
Pada masa sama, kita juga mesti mempertahankan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Kerjasama politik tidak bermaksud kita bersetuju dalam setiap perkara dengan rakan kita. Kalau ada kenyataan daripada mana-mana individu atau parti yang melampaui batas, UMNO mesti berani menyatakan pendiriannya.
Kawan politik bukan bermaksud kita menyerahkan prinsip kepada kawan. Masyarakat sebenarnya boleh menerima kerjasama politik jika mereka tahu dengan jelas apa pendirian UMNO itu sendiri.
Adakah UMNO sudah mempunyai formula kerjasama selepas PRU akan datang?
Saya fikir politik Malaysia hari ini terlalu dinamik untuk kita menentukan semua kemungkinan lebih awal. Apa yang lebih penting ialah UMNO memasuki pilihan raya dengan kekuatan sendiri terlebih dahulu. Kita jangan terlalu banyak bercakap mengenai dengan siapa kita mahu bekerjasama selepas pilihan raya sehingga terlupa persoalan lebih asas, berapa banyak keyakinan rakyat yang mampu kita menang sendiri?
Bagi saya, keutamaan mesti membina semula kekuatan BN dan UMNO. Semakin kuat mandat kita, semakin kuat kedudukan kita untuk membuat sebarang keputusan politik selepas itu.
UMNO wajib membina kekuatan dari dalaman dahulu sehingga kita tidak perlu membuktikannya kepada pihak luar. Jangan masuk pilihan raya dengan mentaliti mencari tongkat. Masuklah dengan usaha untuk berdiri atas kaki sendiri.
Tidakkah pendekatan fleksibel menyebabkan UMNO dilihat seperti mementingkan kelangsungan kuasa berbanding prinsip?
Persepsi itu memang perlu diambil serius. Dalam politik, bukan sahaja niat kita penting tetapi bagaimana tindakan kita dilihat oleh rakyat juga penting. Sebab itu setiap kerjasama mesti mempunyai rasional yang boleh diterangkan kepada rakyat.
Kuasa sebenarnya bukan sesuatu yang salah. Parti politik memang bertanding untuk mendapatkan mandat dan membentuk kerajaan. Yang menjadi persoalannya ialah untuk apa kuasa itu digunakan?
Kalau kuasa digunakan untuk membawa kestabilan, membantu rakyat dan melaksanakan agenda perjuangan, pastinya masyarakat boleh menilainya tetapi jika rakyat melihat kita sanggup mengorbankan semua prinsip hanya untuk kekal berkuasa, mereka akan menghukum kita.
Sebab itu, politik memerlukan fleksibiliti dalam strategi tetapi keteguhan dalam prinsip.
KEPIMPINAN WANITA TIDAK PERLU SEMPURNA
Bagaimana Datuk mengimbangi politik, kerja dan keluarga?
Saya tidak percaya kepada istilah keseimbangan yang sempurna. Dalam kehidupan sebenar, ada masa kerja memerlukan lebih perhatian dan ada masa keluarga mesti menjadi keutamaan. Apa yang saya cuba lakukan ialah memastikan apabila saya berada bersama keluarga, saya benar-benar hadir sebagai seorang ibu dan isteri. Saya juga sangat bergantung kepada pengurusan masa, disiplin dan pasukan yang baik dalam setiap tanggungjawab yang dipegang.
Ada satu prinsip yang saya pegang adalah jawatan boleh datang dan pergi, anak-anak tetap akan mengingati bagaimana kita hadir dalam kehidupan mereka. Saya mahu bekerja dan berkhidmat kepada masyarakat tetapi dalam mengejar semua itu saya tidak mahu kehilangan perkara yang paling dekat dengan saya iaitu keluarga.
Di rumah, saya tinggalkan semua jawatan, pangkat dan segalanya diluar pagar. Terutamanya bila saya bersama abah dan emak, saya tidak akan menjadi Nurul Zahid diluar rumah.
Pentingkah keseimbangan keluarga dan kerjaya untuk imej pemimpin wanita?
Sangat penting. Saya juga tidak mahu wanita dibebankan dengan satu standard yang tidak dikenakan kepada lelaki. Pemimpin wanita tidak sepatutnya sentiasa ditanya sama ada dia mampu menjadi ibu yang baik hanya kerana dia mempunyai cita-cita atau kerjaya.
Wanita boleh menjadi ibu, isteri, profesional, usahawan dan pemimpin pada masa yang sama. Tidak semuanya sempurna setiap hari tetapi itulah realiti kehidupan jutaan wanita Malaysia.
Sebab itu apabila seorang pemimpin wanita memahami kesukaran mengurus anak, keluarga, pekerjaan dan tanggungjawab sosial, dia sebenarnya lebih dekat dengan kehidupan masyarakat.
Kepimpinan wanita bukan tentang membuktikan kita boleh menjadi seperti lelaki. Ia tentang menunjukkan cara seorang wanita memimpin juga mempunyai kekuatannya sendiri. –UTUSAN










