UPSR, PT3 boleh atasi ketiadaan penanda aras prestasi murid

UPSR, PT3 atasi ketiadaan penanda aras prestasi murid – PIBGN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengembalikan peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), wajar dalam menangani kelemahan sistem penilaian pendidikan sedia ada.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, situasi tanpa peperiksaan nasional yang bersifat piawaian menyukarkan penilaian prestasi pelajar secara adil dan telus.

Katanya, pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah semata-mata boleh mewujudkan jurang ketelusan dan gagal menyediakan kayu ukur yang kukuh di peringkat nasional.

“Pentaksiran berasaskan sekolah lebih cenderung menggalakkan pemberian gred tinggi tanpa piawaian mantap, sekali gus menyebabkan tahap ke­upayaan sebenar pelajar sukar diukur secara menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan berkata, kementerian akan menjalankan kajian semula cadangan mengembalikan UPSR dan PT3 susulan permintaan ibu bapa yang mahu peperiksaan nasional itu dikembalikan. Kajian segera akan dijalankan oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diaktifkan semula sebelum sebarang keputusan dibawa ke Kabinet.

Mohamad Ali berkata, pepe­riksaan nasional dan piawai amat penting bagi menilai penguasaan asas literasi dan numerasi seperti 3M atau 4M di peringkat awal, selain me­ngukur kesediaan pelajar di peringkat menengah.

“Melalui penilaian berstan­dard, program pemulihan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, bermakna dan teratur tanpa meninggalkan mana-mana pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan arus perdana.

“Penggemblengan tenaga profesional pada setiap tahap pendidikan perlu ­dimanfaatkan sepenuhnya demi ­memastikan pendidikan berkualiti dapat di­nikmati oleh semua warga negara tanpa pengecualian,” katanya.

Katanya, pendidikan berkua­liti yang menyeluruh perlu di­amalkan bagi melahirkan gene­rasi berilmu dan berakhlak demi kepentingan agama, bangsa, tanah air serta keperluan di pe­ringkat global.

“Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sewajarnya berasaskan peperiksaan piawai yang meliputi seluruh negara dan bukan bergantung kepada penilaian sekolah masing-ma­sing bagi menjamin keadilan serta ketelusan pemilihan.

“Mana-mana warga negara yang tercicir daripada akses pendidikan berkualiti, terma­suk akibat ketiadaan peperiksaan piawai dan nasional, wajar diberikan bimbingan sepenuhnya agar potensi setiap individu dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

“Jesteru, PIBGN menyambut baik cadangan KPM untuk mengembalikan UPSR dan PT3 dengan penambahbaikan dari segi mutu dan pendekatan pepe­riksaan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan penambahbaikan pengurangan penekanan terhadap aspek teori semata-mata, sebaliknya memberi pemberatan lebih tinggi kepada komponen amali dan penyelesaian masalah dengan nisbah 60:40 atau 75:25 antara peperiksaan akhir tahun dan pentaksiran bilik darjah.

“Pihak kementerian juga boleh menimbangkan tambahan lebih 10 peratus terhadap akti­viti kokurikulum serta penilaian merangkumi aspek akhlak dan adab pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN