KUALA LUMPUR : Usia muda dan komitmen membina kerjaya tidak menghalang anak muda memperuntukkan sebahagian pendapatan bulanannya untuk berwakaf.
Amalan tersebut seiring dengan usaha Wakaf MARA MADANI (WMM) membuka ruang kepada masyarakat, termasuk pekerja muda, untuk berwakaf tanpa perlu menunggu sehingga memiliki kekayaan atau hartanah.
Muhammad Danish Mikail Sailan, 23, Graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang bekerja di ibu negara itu memilih untuk berkongsi rezeki mengikut kemampuan sebagai usaha mencari keredaan Allah SWT dan mengharapkan pahala berpanjangan.
“Jika dahulu saya hanya memberi sumbangan di tabung masjid tetapi setelah mendapat pendedahan khususnya mengenai WMM, saya mula berwakaf kerana ganjarannya amat besar dan rezeki saya diberkati.
“Ini adalah sumbangan kecil saya untuk masyarakat, insya Allah kalau gaji naik saya tambah sikit,” katanya di sini hari ini.

Menerusi wakaf tunai, orang ramai boleh menyumbang mengikut kemampuan kerana tiada had minimum atau maksimum ditetapkan bagi sumbangan kepada WMM.
WMM ditadbir Majlis Amanah Rakyat (Mara) selaku mutawalli atau pentadbir wakaf yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Melalui inisiatif itu, modal wakaf dikekalkan dan dilaburkan dalam instrumen patuh syariah, manakala hasilnya disalurkan untuk manfaat masyarakat secara berterusan.

Manfaat berkenaan meliputi enam sektor iaitu pendidikan, keusahawanan, kebajikan, kesihatan, pengangkutan dan aset wakaf.
Sementara itu, graduan bidang Reka Bentuk Multimedia Interaktif dari Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT), Nur Hidayah Rosli berkata, masih ramai yang tidak mempunyai kesedaran berwakaf.
“Keluarga dan kawan-kawan sering membuat aktiviti kebajikan sedangkan wakaf juga salah satu daripadanya dan manfaatnya sangat besar.
“Saya terbaca mengenai WMM di media sosial dan mula berwakaf kemudian saya cerita kepada keluarga dan kawan-kawan, mereka baru faham mengenai wakaf,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsep wakaf dan kaedah penyertaan melalui portal rasmi wakaf.mara.gov.my atau mengikuti Instagram @wakafmaramadani. – UTUSAN









