Waktu keluar atlet mungkin lebih ketat

Waktu keluar atlet mungkin lebih ketat

Majlis Sukan Negara
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mungkin memperketatkan peraturan waktu keluar malam atlet yang tinggal di asrama susulan kemalangan menimpa atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin, baru-baru ini.

Ketua Pengarah MSN, Ariffin Mohd. Ghani berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memendekkan waktu keluar malam atlet selepas mengambil kira pandangan persatuan sukan serta meneliti semula peraturan sedia ada.

Beliau berkata, peraturan yang menetapkan atlet perlu kembali ke asrama sebelum tengah malam ketika ini masih berkuat kuasa, namun kemungkinan perubahan akan diteliti secara menyeluruh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peraturan memang ada untuk atlet yang duduk di asrama MSN dan kita laksanakan, malah semua atlet pun maklum mengenai perkara itu.

“Cuma kita ambil maklum dengan pandangan persatuan, kita kena kaji semula sebab sekarang ini had waktu keluar malam kita sampai pukul 12 tengah malam. Mungkin kita kena pendekkan sedikit, kita tengok secara keseluruhan,” katanya.

Bagaimanapun, Ariffin menegaskan MSN tidak boleh menguruskan asrama atlet seperti asrama sekolah memandangkan mereka merupakan atlet negara yang memerlukan pendekatan lebih fleksibel.

“Memang ada peraturan sedia ada, tetapi kita tidak bolehlah buat asrama macam asrama sekolah. Ini atlet negara, kita fleksibel juga. Peraturan biasa seperti keluar masuk asrama dan kawasan MSN semua ada,” katanya.

Beliau berkata, MSN juga terbuka menerima pandangan atlet yang tinggal di asrama bagi memastikan peraturan sedia ada dapat ditambah baik, termasuk kemungkinan perkara itu dibincangkan dalam sesi dialog bersama Menteri Belia dan Sukan dalam masa terdekat.

Hafizuddin terlibat dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya SUKE sekitar 11.30 malam pada 16 November ketika dalam perjalanan pulang ke Bukit Jalil, sebelum tangan kanannya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini