Kuala Lumpur – Ratu Rock negara, Ella bakal mempersembahkan karya terbaharunya buat pertama kali secara langsung menerusi konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit JAlil pada 5 Disember ini.
Perkara itu dikongsikan Ella menerusi sesi langsung di TikTok baru-baru ini ketika berkongsi perkembangan persiapan konsert berkenaan, termasuk beberapa judul lagu yang bakal dipersembahkan kepada peminat.
Menariknya, karya baharu itu menjadi antara persembahan yang dinanti-nantikan memandangkan Ella bakal kembali dengan lagu terbaharu selepas hampir 10 tahun, hasil nukilan Saari Amri dengan lirik oleh Azam Dungun.
Lagu berkenaan akan dipersembahkan buat pertama kali di Sidang Penutup, sekali gus memberi peluang kepada peminat menjadi antara yang terawal mendengarkan karya baharu penyanyi itu bersama kumpulan pemuziknya yang diketuai Datuk Acis.
Selain karya baharu, peminat turut berpeluang menikmati beberapa lagu yang jarang dipersembahkan termasuk Menyanyilah La La La, Puisi Hamba, Bendera Damai, Kabus dan Sirna serta Puteri Kota.
Konsert berkenaan turut menampilkan gandingan istimewa Ella bersama Yuna, Datuk Ziana Zain dan Shima. Tiket boleh didapati menerusi laman web www.hitmanlive.com










