KUALA LUMPUR: Selepas kira-kira setahun berkahwin untuk kali kedua, pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor, memfailkan tuntutan perceraian terhadap suaminya, Mounir Abdul-Karim Kaddoura di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor.
Peguam syarie, Nor Hazura Hamzah yang mewakili Mounir, berkata hari ini pihaknya memohon supaya prosiding tuntutan perceraian itu digantung berikutan permohonan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Katanya, permohonan semakan kehakiman itu dibuat bagi mencabar perintah yang dikeluarkan dalam prosiding tuntutan perceraian berkenaan pada 19 Oktober lalu.
“Hakim Syarie, Mohd Syafiq Ibrahim membenarkan permohonan penggantungan prosiding ini sementara menunggu permohonan semakan kehakiman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam.
“Kes tuntutan perceraian itu ditangguhkan ke 10 Februari 2027,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Nor Hazura tidak dapat mendedahkan perintah pada 19 Oktober yang sedang dalam proses semakan kehakiman itu.
Beliau berkata, Mounir komited untuk mempertahankan ikatan perkahwinannya bersama Asni dan mengarahkan isterinya supaya tinggal serta menjalani kehidupan berumah tangga bersamanya.
Menurutnya, Mounir juga berpendirian untuk mempertahankan haknya untuk didengar serta mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah mengikut proses undang-undang dan tatacara ditetapkan.
Katanya, kenyataan itu dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang salah kenyataan atau pemesongan fakta berhubung kes yang dikemukakan pihak terbabit di mahkamah.
Pada 17 Oktober tahun lalu melaporkan Asni berkongsi berita perkahwinannya dengan Mounir menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian itu, pendakwah berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu meluahkan rasa syukur apabila kembali bergelar isteri selepas mendirikan rumah tangga dengan Mounir yang berketurunan Palestin yang juga warga Amerika Syarikat.
Untuk rekod, Ustazah Asni sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Nasir Rustam Al Hafiz, namun perkahwinan itu berakhir dengan perceraian.
Hasil perkongsian hidup terdahulu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Yasmin Sofea, Muhammad Adam Shauqi, Mariam Hani dan Muhammad Naufal Kholili.











