Sime Darby Property catat keuntungan sembilan bulan tertinggi RM599.7 juta - Utusan Malaysia

Sime Darby Property catat keuntungan sembilan bulan tertinggi RM599.7 juta

SIME Darby Property catat untung sembilan bulan tertinggi pada tahun kewangan 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) tertinggi bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, melonjak 39.4 peratus tahun ke tahun kepada RM599.7 juta.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi tempoh sama turut mencatat paras tertinggi sebanyak RM828.2 juta atau meningkat 25.7 peratus tahun ke tahun, didorong sumbangan lebih kukuh daripada portfolio Pelaburan dan Pengurusan Aset (IAM).

Syarikat pemaju hartanah itu merekodkan hasil sebanyak RM3.0 bilion dan keuntungan operasi (OP) bernilai RM748.0 juta, naik 3.5 peratus tahun ke tahun disokong pendapatan berulang lebih tinggi khususnya daripada aset pusat data serta hartanah pelaburan perindustrian yang telah siap.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, pencapaian keuntungan tertinggi bagi tempoh sembilan bulan itu mencerminkan pertumbuhan pendapatan berterusan seiring perkembangan aset pendapatan berulang dan pembangunan teras perbandaran serta perindustrian syarikat.

“Menerusi SHIFT32, kami sedang membangunkan portfolio hartanah yang lebih seimbang, yang mampu menjana aliran tunai berdaya tahan merentasi kitaran pasaran, disokong oleh peruntukan modal yang berdisiplin selaras dengan pengembangan perniagaan ke dalam kelas aset dan pasaran serantau yang baharu,” katanya dalam kenyataan.

Segmen Pembangunan Hartanah (PD) kekal sebagai penyumbang terbesar dengan hasil RM2.7 bilion dan PBT RM615.9 juta, dipacu kemajuan pembinaan di perbandaran utama seperti SJ7, Elmina Business Park, Hamilton Nilai City dan Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) Resort selain keuntungan nilai saksama RM120.4 juta.

Segmen IAM pula mencatatkan lonjakan hasil 63.8 peratus tahun ke tahun kepada RM221.6 juta manakala PBT meningkat lebih dua kali ganda kepada RM213.6 juta, disokong pendapatan sewaan pusat data, prestasi KL East Mall dan Elmina Lakeside Mall, usaha sama serta pelupusan Sime Darby Business Centre di Singapura.

Sepanjang tempoh penilaian, pelancaran di Malaysia berjumlah RM3.7 bilion diterajui produk perindustrian bernilai RM1.4 bilion (39 peratus), kediaman bertingkat tinggi RM1.1 bilion (29 peratus), kediaman bertanah RM822.8 juta (22 peratus) dan komersial RM350.3 juta (9 peratus), manakala jualan direkodkan sebanyak RM2.5 bilion dan jumlah tempahan mencecah RM1.7 bilion setakat 31 Oktober lalu.

Memacu pengembangan serantau menerusi SHIFT32, syarikat turut melancarkan projek pembangunan bercampur sulungnya di Melbourne, Australia iaitu Aurum dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira 1.08 bilion dolar Australia (RM3.2 bilion) yang menandakan kemasukannya ke dalam kelas aset penginapan pelajar dibina khas (PBSA).

Setakat 30 September 2026, jualan belum dibil berjumlah RM3.6 bilion memberikan keterlihatan pendapatan melebihi tiga tahun akan datang, manakala nisbah penggearan bersih kekal sihat pada 36.9 peratus.

Selain menubuhkan Program Sukuk sehingga RM2.60 bilion menerusi anak syarikatnya bagi menyokong pembangunan pusat data dan aset logistik, syarikat turut memperoleh kelulusan pemegang saham bagi pengambilalihan tanah seluas 556.96 ekar di Kulai, Johor dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan anggaran GDV RM3 bilion.

Mengulas prospek, Azmir berkata, Sime Darby Property kekal fokus melaksanakan baki pelancaran tahun penuh dengan anggaran GDV RM5.0 bilion serta mengembangkan asas pendapatan berulang bagi mencapai sasaran Aset di Bawah Pengurusan (AUM) melebihi RM10.0 bilion menjelang 2028.

“Menjelang suku terakhir tahun ini, keutamaan kami adalah untuk melaksanakan baki pelancaran, meningkatkan jualan serta mengekalkan disiplin kos dalam keadaan pasaran yang terus berubah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini