Tiada guna tegur, buat apa bazir tenaga? - Dini Schatzmann - Utusan Malaysia

Tiada guna tegur, buat apa bazir tenaga? – Dini Schatzmann

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik sikap tenang yang dipamerkan, pelakon Dini Schatzmann  mengakui dirinya lebih mudah tersentuh apabila isteri tercinta, Janna Nick sering menjadi sasaran kecaman netizen berbanding dirinya sendiri di media sosial, terutamanya melibatkan perubahan fizikal aktres itu. 

Sebagai individu yang mengetahui setiap liku perjalanan isterinya dalam usaha mendapatkan zuriat, Dini memahami betapa sukarnya buat Janna berdepan tekanan daripada masyarakat dalam keadaan sedang memperjuangkan impian mereka bersama.

Meskipun tidak mampu menutup mulut orang ramai, Dini seboleh-bolehnya mahu memastikan isterinya tidak terus dibelenggu kesedihan hanya kerana pandangan individu yang tidak mengetahui kisah sebenar kehidupan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya, tidak ada gunanya untuk menegur mereka. Buat apa kita membazirkan tenaga dan masa untuk satu atau dua komen dari mereka tidak ada kena-mengena dengan kehidupan kami?

“Saya seorang yang sangat tenang dan bukan mudah untuk membuatkan saya terasa hati, tetapi saya juga manusia. Biarlah orang mahu bercakap apa sahaja mengenai saya, saya okey. Tetapi apabila orang bercakap mengenai Janna, saya lebih terasa hati bagi pihaknya. 

“Sudah tentu ada detik-detik tertentu apabila kita menjadi lebih sensitif atau sedang melalui hari yang buruk saya melihat dia menangis. Apabila ditambah pula dengan komen-komen seperti ini, sudah tentu dia akan berasa murung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebagai suami, Dini mengakui berdiam diri bukanlah perkara mudah, namun dirinya enggan berhabis tenaga untuk memarahi mahupun menegur individu yang tidak tahu situasi sebenar yang dilalui bersama isteri tercinta

“Sudah tentu saya ada perasaan mahu marah kerana seperti yang saya katakan, saya lebih sensitif apabila orang bercakap mengenai isteri saya. Tetapi akhirnya, kalau kita mahu memarahi mereka atau membalas komen tersebut, apa yang kita akan dapat?

“Tidak ada kebaikan pun yang akan datang daripadanya. Kenapa saya perlu membazirkan tenaga dan masa sedangkan saya boleh menggunakan masa serta tenaga itu untuk seribu perkara lain yang lebih penting daripada komen seorang individu? Kadang-kadang kita terlalu memberikan perhatian kepada satu komen sahaja.

“Saya akan ingatkan dia, untuk lihat gambaran yang lebih besar. Mereka tidak nampak keseluruhan cerita. Apa yang sedang kita cuba capai sekarang? Apabila saya berkata demikian, mudah-mudahan, insya-Allah, dia menjadi lebih tenang dan memahami keadaan tersebut,” jelasnya.

Kembali berlakon selepas setahun berehat

Lebih setahun meninggalkan kerjaya seni demi menemani isteri tercinta melanjutkan pelajaran di Kota London, Dini memaklumkan dirinya sudah perlahan-lahan kembali mengatur langkah dalam bidang lakonan.

Menurut pelakon berusia 32 tahun itu, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran selama dua minggu bersama syarikat penyiaran Singapura, Mediacorp.

“Sepanjang setahun berada di London bersama Janna, sejujurnya saya sangat berbangga dengannya dan teruja melihat dia mencapai salah satu impian dalam hidupnya.

“Sebenarnya, saya baru sahaja pulang dari Singapura selepas selesai menjalani penggambaran selama dua minggu untuk Mediacorp.

“Jadi, sekarang saya mahu betul-betul berehat seketika kerana baru pulang dari London dan selesai menjalani penggambaran,” kongsinya.

Ditanya sama ada dirinya sudah menerima tawaran lakonan di Malaysia, Dini memaklumkan dia kini sedang mempersiapkan sesuatu yang bermakna bersama isteri tercinta.

”Setakat ini belum ada tawaran lakonan di Malaysia. Tetapi saya dan Janna sedang mengusahakan sesuatu. Mengenai perkara itu, nanti Janna sendiri akan mengumumkannya apabila tiba masa yang sesuai.

“Memandangkan dia akan lebih aktif di belakang tabir selepas ini, saya akan membantu Janna dalam apa sahaja perkara yang saya mampu dan cuba untuk terus menyokongnya.Namun, sekiranya masih ada rezeki untuk berlakon, Insya-Allah, saya akan meneruskannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini