Bayi sebulan lapan hari antara mangsa banjir RTB Bukit Changgang

Bayi sebulan lapan hari antara mangsa banjir RTB Bukit Changgang

ANTARA mangsa banjir Kampung RTB Bukit Changgang yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang, Kuala Langat - UTUSAN/NURIN NABILAH MAHMOD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Tidak menyangka kawasan kediamannya akan dilanda banjir, seorang ibu yang sedang berpantang, Nur Mazadelina Adenan, 37, pada awalnya tidak mengambil serius amaran jiran supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana itu.

Nur Mazadelina berkata, dia menyangka keadaan tidak akan menjadi lebih buruk kerana baru pertama kali berdepan banjir sejak berpindah ke kawasan itu pada Jun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di rumah bersama tiga anaknya termasuk bayi berusia sebulan lapan hari, manakala suaminya keluar bekerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, jiran sempat mengingatkannya supaya bersiap sedia selepas melihat paras air mula meningkat, namun dia tidak menyangka air akan naik sehingga menghampiri kediaman mereka.

“Jiran ada beritahu supaya bersiap sedia kerana mungkin akan berlaku banjir, tetapi saya ingatkan air tidak akan naik terlalu tinggi.

“Saya baru berpindah ke sini pada Jun lalu dan ini kali pertama berdepan banjir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Nur Mazadelina berkata, suaminya yang pulang kira-kira sejam kemudian meminta mereka segera mengemas barangan selepas dimaklumkan kawasan berhampiran sudah dinaiki air.

Menurutnya, keadaan semakin cemas apabila air terus meningkat sehingga ke bahagian hadapan rumah ketika mereka sedang mengemas barangan.

Katanya, suami bertindak membawa anak-anak terlebih dahulu ke kawasan lebih tinggi sebelum mereka mendapatkan bantuan jiran untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Air dah sampai paras betis jadi suami terus angkat anak-anak dahulu ke jalan yang lebih tinggi. Selepas itu, kami menumpang kenderaan jiran untuk datang ke sini,” katanya.

Nur Mazadelina berkata, dia bimbang berdepan situasi itu kerana perlu menguruskan tiga anak, lebih-lebih lagi bayi yang masih kecil dan memerlukan perhatian khusus.

Terdahulu, seramai 793 penduduk daripada 241 keluarga terjejas selepas struktur ban atau benteng di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang pecah sehingga menyebabkan air melimpah ke kawasan kampung, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6 pagi, 25 November itu menyebabkan penduduk terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang yang dibuka pada pukul 1 tengah hari semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini