ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta menerusi bagi menyediakan perkhidmatan bas pengantara yang akan menghubungkan JB Sentral dengan Stesen Sistem Transit Rapid Link (RTS Link) Bukit Chagar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, inisiatif itu sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan pihaknya menjelang pengoperasian projek berkenaan, tidak lama lagi.
Katanya, penyediaan perkhidmatan itu penting bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang sekali gus menyokong usaha penyuraian trafik di pusat bandar raya Johor Bahru.
“Selain perkhidmatan bas pengantara dari JB Sentral, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut menyediakan dua lagi perkhidmatan bas ulang-alik iaitu Shuttle RTS dan Shuttle Tourism.
“Bagi laluan Shuttle RTS, sebanyak empat buah bas dicadangkan beroperasi dengan kekerapan setiap 15 minit bagi menghubungkan kawasan Kota Jail terus ke Stesen RTS Bukit Chagar,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fazli, rangkaian perkhidmatan bas ulang-alik berkenaan turut dirancang meliputi beberapa kawasan tumpuan utama seperti SKS Mall, R&F Mall serta kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat atau Park & Ride di Kota Jail.
“Pendekatan holistik ini dirangka bagi memastikan pengguna perkhidmatan RTS mempunyai pilihan perjalanan yang lebih menyeluruh dan selesa tanpa perlu terlalu bergantung kepada kenderaan persendirian.
“Pada masa sama, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM945,000 bagi memperkasakan pendigitalan sistem maklumat pengangkutan awam negeri. Daripada jumlah itu, RM495,000 diperuntukkan bagi tujuan peluasan Sistem Paparan Maklumat Penumpang (PIDS), manakala RM450,000 lagi digunakan untuk naik taraf aplikasi Single Entry for All Public Transport demi kemudahan pengguna,” katanya. – UTUSAN











