DALAM dunia akademik yang semakin terbuka, pengiktirafan antarabangsa terhadap penyelidik tempatan bukan membuktikan kemampuan sarjana Malaysia menyumbang kepada perkembangan ilmu di peringkat global.
Perkara ini dapat dilihat menerusi pemilihan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Haida Umiera Hashim, sebagai penerima Emerging Scholar Award 2027 oleh Common Ground Research Networks yang berpangkalan di Illinois, Amerika Syarikat (AS).
Pengiktirafan itu diberikan sempena Persidangan Antarabangsa Kali Ke-20 mengenai e-Pembelajaran dan Pedagogi Inovatif di University of St Andrews, Scotland, pada 8 hingga 9 April 2027.
Haida dipilih dalam kategori Online Emerging Scholar selepas melalui proses persaingan yang melibatkan ramai calon berkelayakan.
Selain pengecualian yuran pendaftaran, beliau turut diberi tanggungjawab mempengerusikan sesi panel secara dalam talian serta meneliti kertas cadangan pembentangan.
Pencapaian ini hadir ketika pendidikan tinggi mengalami perubahan pesat akibat perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI). Penggunaan teknologi mengubah kaedah penyampaian ilmu, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap penyelidikan dan inovasi pedagogi.
Bagaimanapun, kemajuan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan penggunaan teknologi semata-mata. Sebaliknya, keutamaan perlu diberikan kepada keberkesanannya dalam meningkatkan mutu pembelajaran, memperluas akses pendidikan dan membentuk pemikiran kritis pelajar.
Kepakaran Haida dalam pengajaran bahasa, penyelidikan pendidikan, integrasi AI dan inovasi pedagogi memperlihatkan sumbangan ahli akademik dalam menangani keperluan pendidikan semasa.
Penyertaan dalam persidangan antarabangsa juga membuka peluang kepada sarjana tempatan bertukar pandangan, membina jaringan penyelidikan dan memperkenalkan perspektif Malaysia kepada komuniti ilmiah dunia.
Justeru, universiti perlu memperluas sokongan kepada penyelidik, khususnya sarjana muda, melalui pembiayaan, bimbingan serta peluang kerjasama rentas institusi. Budaya penyelidikan yang menghargai kreativiti dan pemikiran kritis juga perlu diperkukuh.
Pemilihan Haida sebagai penerima anugerah tersebut membuktikan sarjana tempatan berupaya bersaing di peringkat antarabangsa. Lebih penting, pencapaian itu perlu menjadi dorongan untuk menghasilkan penyelidikan berkualiti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Kekuatan pendidikan negara bukan hanya terletak pada kedudukan universiti, tetapi turut bergantung pada kemampuan para sarjana menghasilkan ilmu, menangani cabaran semasa dan membawa kepakaran Malaysia ke pentas dunia. –UTUSAN
NUR SYAZILAWATI
Universiti Teknologi Mara (UiTM)











