KUALA LUMPUR: Seramai 19 pegawai kerajaan dibuang kerja manakala lapan lagi dikenakan tindakan tahan kerja susulan penglibatan dalam sindiket counter setting dan flying passport sehingga November 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu membabitkan keseluruhan 27 pegawai yang dikenakan tindakan susulan pertuduhan di mahkamah.
Beliau berkata, kerajaan kekal dengan pendekatan tegas dan tanpa kompromi terhadap sebarang pelanggaran integriti, termasuk menerusi pelaksanaan program pencegahan serta tindakan tatatertib.
“Kerajaan mengekalkan pendekatan tegas dan tanpa kompromi terhadap sebarang pelanggaran integriti melalui program pencegahan serta tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Pada masa yang sama, bagi kes pelanggaran integriti melibatkan sindiket counter setting dan flying passport sehingga November 2026, tindakan tegas telah diambil terhadap seramai 27 orang pegawai, iaitu melibatkan 19 pegawai dibuang kerja manakala lapan pegawai lagi dikenakan tindakan tahan kerja susulan pertuduhan di mahkamah,” katanya di dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta kerajaan menyatakan sejauh mana keberkesanan dan keberhasilan AKPS memenuhi mandatnya sejak penubuhan rasminya pada 1 Januari 2024 di samping dapatan hasil penilaian prestasinya terutama meliputi aspek tadbir urus, kesepaduan agensi dan kecekapan operasi serta syor-syor penambahbaikan.
Tambah Saifuddin Nasution, penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bukan sekadar penstrukturan semula pentadbiran, sebaliknya satu reformasi institusi bagi memperkukuh keselamatan sempadan negara.
Katanya, penubuhan agensi itu turut memberi impak terhadap usaha memudah cara perdagangan dan pelancongan selain melindungi hasil negara.
“Keseluruhan pencapaian ini membuktikan bahawa penubuhan AKPS bukan sekadar satu penstrukturan semula pentadbiran, malah merupakan reformasi institusi yang berimpak tinggi dalam memperkukuh keselamatan sempadan, memudah cara perdagangan serta pelancongan, dan melindungi hasil negara.
“Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri akan terus komited memperkasakan keupayaan sumber manusia, prasarana teknologi, dan tadbir urus AKPS agar setiap pintu masuk negara kekal kebal daripada ancaman jenayah rentas sempadan, di samping memberikan perkhidmatan bertaraf dunia kepada rakyat dan pelawat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN











