AS desak Netanyahu patuhi komitmen pelan damai Gaza

AS desak Netanyahu patuhi komitmen pelan damai Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Utusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Jared Kushner menggesa Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu menunaikan komitmen yang dibuat kepada Presiden, Donald Trump dan melaksanakan pelan damai Gaza, menurut laporan Axios.

Laporan itu yang memetik tiga sumber yang mengetahui perbualan berkenaan menyatakan, desakan tersebut mencerminkan kekecewaan yang semakin meningkat dalam Rumah Putih dan Lembaga Keamanan Trump terhadap kelewatan pelaksanaan pelan hala tuju 15 perkara yang dipersetujui bersama Hamas pada Julai lalu.

Pelan itu bertujuan melucutkan senjata kumpulan bersenjata di Gaza dan menyerahkan pentadbiran wilayah berkenaan kepada pentadbiran teknokrat Palestin yang baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelaksanaannya tertangguh selama beberapa bulan susulan pilihan raya Israel pada 27 Oktober lalu, apabila Netanyahu gagal memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan dan kekal mengetuai kerajaan sementara.

Dalam perkembangan sama, pemimpin pembangkang, Gadi Eisenkot yang berikrar melaksanakan pelan Trump, diberikan mandat untuk membentuk gabungan kerajaan baharu.

Dalam perbualan telefon dengan Trump dua minggu lalu, Netanyahu mendakwa beliau tidak boleh meluluskan langkah berkaitan Gaza kerana berstatus perdana menteri sementara.

Bagaimanapun, seorang sumber menolak alasan itu, menegaskan ia bukan hujah yang konkrit, memandangkan kesediaan Netanyahu untuk berperang dengan Iran.

Washington kini mendesak Netanyahu meluluskan enam langkah khusus termasuk mengerahkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), membenarkan bahan binaan dibawa masuk untuk pembinaan pangkalan pasukan itu serta membenarkan 4,000 anggota polis Palestin yang telah disaring Israel menjalani latihan di Mesir sebelum kembali ke Gaza.

AS turut mahu Israel membenarkan kemasukan bahan bekalan air dan sanitasi serta rumah mudah alih untuk menghadapi musim sejuk ke wilayah itu, selain melaksanakan projek perintis bagi pentadbiran teknokrat Palestin di selatan Gaza.

Rumah Putih belum mengesahkan secara rasmi panggilan telefon berkenaan atau mendedahkan butiran perbincangan itu. Pejabat Netanyahu pula mengesahkan perbualan tersebut, namun enggan memberikan ulasan lanjut.

Israel sebelum ini menyekat kemasukan kontena logam dengan alasan Hamas boleh menggunakannya untuk menghasilkan senjata, selain mengenakan sekatan terhadap bekalan simen, besi dan keluli.

Sekatan itu menyebabkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal terpaksa berdepan banjir, ribut dan cuaca sejuk di dalam khemah kain.

Sejak Oktober 2023, perang genosid Israel di Gaza mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 176,000 yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan 90 peratus infrastruktur wilayah berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini