RIYADH: Kumpulan Houthi mendakwa menyerang pelabuhan Jeddah dan Jazan di Arab Saudi sebagai tindak balas terhadap serangan Riyadh ke atas sebuah pelabuhan Yemen yang dikuasai kumpulan itu, ketika konflik semakin memuncak.
Serangan itu berlaku selepas pakatan tentera pimpinan Arab Saudi yang memerangi Houthi mengumumkan serangan ke atas bandar pelabuhan Hodeida di Laut Merah, Yemen, sekali gus mencetuskan ancaman tindak balas daripada kumpulan itu.
“Kedua-dua operasi mengakibatkan kerosakan pada lokasi yang disasarkan,” kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree.
Satu letupan kemudian kedengaran di ibu negara Saudi, Riyadh, menurut wartawan AFP dan penduduk, selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran mengenai ancaman udara bermusuhan yang ditarik balik tidak lama kemudian.
Penduduk di utara dan timur Riyadh mengesahkan mendengar letupan itu, dengan seorang daripada mereka berkata, tingkap rumahnya bergegar kuat.
Semalan Yahya memberi amaran kepada orang awam berhampiran pelabuhan Arab Saudi supaya berpindah dan meminta semua syarikat perkapalan mengalihkan kapal mereka dari pelabuhan berkenaan dengan segera.
Pakatan tentera sebelum ini berkata, satu peluru yang dilancarkan Houthi mengenai pelabuhan Jazan, namun tidak mengulas mengenai insiden lain.
“Kerosakan kecil tanpa korban awam. Usaha sedang dijalankan untuk menentukan jenis peluru berkenaan,” tulis jurucakap pakatan, Turki al-Malki di platform X.
Houthi turut mengaku bertanggungjawab terhadap serangan sehari sebelumnya ke atas ibu negara Saudi yang mengenai menara tertinggi di daerah kewangan Riyadh, sehingga mencederakan 11 orang.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan itu melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap sasaran di Arab Saudi termasuk daerah kewangan, lapangan terbang, infrastruktur tenaga dan tapak ketenteraan.
Pakatan Saudi pula melancarkan serangan ke atas kawasan yang dikuasai Houthi di Yemen bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf antarabangsa, yang sedang berperang dengan kumpulan itu untuk menguasai wilayah sejak perang saudara kembali tercetus pada Julai lalu.
“Kami menyasarkan keupayaan operasi di pelabuhan Hodeida,” kata pakatan menerusi hantaran di X pada Rabu, selepas sebelum itu mengeluarkan amaran supaya orang awam berpindah.
Hodeida dikuasai Houthi dan merupakan laluan utama kemasukan barangan ke wilayah Yemen yang berada di bawah kawalan kumpulan itu.
Media Houthi, Almasirah pada pagi Rabu mengesahkan Hodeida menjadi sasaran serangan dan turut melaporkan serangan baharu pada hari sama, namun tidak memberikan butiran. Tiada laporan mengenai korban jiwa atau kecederaan.
Almasirah turut mendakwa tentera pakatan diketuai Arab Saudi menyerang lapangan terbang antarabangsa di kawasan itu.-AFP











