DHAKA: Pekerja sektor pakaian Bangladesh memperoleh kenaikan gaji minimum sebanyak 36 peratus semalam selepas beberapa minggu mengadakan demonstrasi yang mengakibatkan kerugian perniagaan ratusan juta dolar.
Bangladesh, pengeksport pakaian kedua terbesar dunia selepas China, berdepan demonstrasi besar-besaran sejak Oktober lalu susulan tuntutan pekerja supaya gaji dinaikkan.
Industri pakaian menyumbang empat perlima daripada keseluruhan pendapatan eksport serta menyediakan pekerjaan kepada lebih empat juta orang di Bangladesh.
Industri berkenaan turut membekalkan pakaian kepada jutaan pengguna di Eropah dan Amerika Utara.
Persetujuan kenaikan gaji itu dicapai selepas rundingan panjang antara wakil pekerja dengan pemilik kilang, sekali gus mendorong wakil pekerja menggesa semua kakitangan kembali bertugas.
Wakil pekerja dalam lembaga penetapan gaji yang ditubuhkan bagi menyelesaikan krisis itu, Babul Akhter berkata, keputusan berkenaan masih belum memenuhi sepenuhnya tuntutan pekerja.
“Walaupun kami tidak berpuas hati sepenuhnya, keputusan ini tidaklah terlalu mengecewakan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, sebelum ini pekerja hanya menerima semakan gaji setiap lima tahun, namun kali ini semakan dibuat selepas tempoh tiga tahun.
Pekerja menuntut gaji minimum bulanan sebanyak 30,000 taka (RM989), berbanding 12,500 taka (RM412) sebelum ini.
Mereka mendakwa kadar gaji semasa gagal menampung peningkatan kos makanan, tempat tinggal, pengangkutan dan penjagaan kesihatan.
Pengerusi lembaga penetapan gaji industri pakaian yang dilantik kerajaan, Hakim Syed Azad Subhani berkata, pihaknya bersetuju menetapkan gaji minimum sebanyak 17,000 taka (RM560) selepas undian pada awal Rabu.
Kenaikan gaji itu akan berkuat kuasa mulai Januari.- AFP










