Ekspo China peluang emas usahawan Malaysia

Ekspo China peluang emas usahawan Malaysia

EKSPO antarabangsa seperti Canton Fair 2026 membuka peluang kepada usahawan Malaysia meneroka teknologi, mencari rakan niaga dan meningkatkan daya saing melalui perancangan serta tindakan susulan yang teratur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHINA muncul sebagai antara kuasa ekonomi utama dunia. Republik itu berada rapat di belakang Amerika Syarikat (AS) dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK). Kedudukan itu dibina menerusi kekuatan sektor pembuatan, perdagangan antarabangsa, pelaburan strategik serta sokongan dasar dan pembiayaan kerajaan terhadap sektor tertentu.

Pengaruh China merentasi pelbagai bidang termasuk teknologi dan inovasi, infrastruktur, pembangunan hartanah, komunikasi, ekonomi digital, robotik, automasi, kesihatan dan teknologi perubatan digital. Ia juga menjadi antara pengeluar utama dunia bagi alat permainan, barangan dan kenderaan elektrik serta jentera pertanian selain membangunkan keupayaan dalam industri pertahanan.

“China membawa masa depan kepada dunia,” demikian komen seorang pengunjung ketika mengunjungi Canton Fair (Autumn 2026) di Guangzhou, China.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di sebalik himpunan produk, teknologi dan inovasi yang dipamerkan terserlah satu realiti penting iaitu China bukan sekadar menjadi pusat pengeluaran barangan dunia malah sebuah ekosistem industri yang menawarkan pelbagai peluang untuk diterokai sesiapa sahaja termasuk komuniti perniagaan Malaysia.

Canton Fair 2026 atau China Import and Export Fair pameran perdagangan antarabangsa utama China. Edisi ke-140 tahun ini berlangsung pada 15 Oktober hingga 4 November.

Lebih 32,000 syarikat pempamer mengambil bahagian dalam ketiga-tiga fasa. Ini termasuk 11,000 syarikat berkualiti tinggi selain perusahaan berteknologi khusus dan kelebihan industri. Kira-kira 64 peratus daripadanya menggunakan teknologi baharu seperti internet industri dan kecerdasan buatan (AI).

Pameran ini memperlihatkan skala ekosistem perdagangan yang mampu menghimpunkan pengeluar, pembekal, pemilik teknologi dan pemain industri dalam satu lokasi.

Ekspo perdagangan berskala besar perlu dilihat sebagai medan meninjau perkembangan industri, memahami arah aliran trend, teknologi dan pasaran selain mengesan inovasi dan menilai perubahan terkini dunia perniagaan global.

Lawatan ke ekspo boleh menjadi sebahagian inisiatif syarikat mendapatkan maklumat strategik. Peluang ini meliputi penilaian produk baharu, perbandingan spesifikasi, meluaskan skop dan perspektif serta penerokaan teknologi pengeluaran mahupun pencarian rakan niaga berpotensi.

Bayangkan sebuah syarikat Malaysia sedang mencari mesin bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Daripada menghubungi pengilang secara berasingan di beberapa negara, wakil syarikat itu boleh memanfaatkan ekspo seperti ini untuk membandingkan pilihan, meneliti spesifikasi dan berbincang secara langsung dengan pengeluar.

Kaedah ini menjimatkan masa, memperluas pilihan dan membantu syarikat membuat penilaian lebih tepat. Namun, tidak bermakna semua urusan boleh diselesaikan dalam satu lawatan.

Susulan perlu dilakukan untuk penilaian teknikal, rundingan harga, pemeriksaan kilang, pensijilan dan pengesahan keupayaan pembekal sebelum keputusan perniagaan dibuat.

Antara manfaat penting menghadiri ekspo ialah peluang mendapatkan katalog produk, spesifikasi teknikal, maklumat pengilang dan bahan penerangan mengenai teknologi dipamerkan.

Pertemuan secara langsung dengan pengilang membolehkan pertanyaan dikemukakan mengenai keupayaan pengeluaran, bahan yang digunakan, pilihan penyesuaian produk, khidmat selepas jualan dan kemungkinan kerjasama.

Teknologi yang dipamerkan juga boleh mencetuskan idea untuk menambah baik produk tempatan atau menghasilkan produk baharu bagi memenuhi keperluan pasaran Malaysia.

Dalam persekitaran ekonomi semakin kompetitif, keupayaan dan daya saing syarikat tidak lagi bergantung pada modal dan tenaga kerja tetapi penggunaan teknologi, kecekapan operasi, kualiti produk dan kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.

Ekspo yang mempamerkan automasi, robotik, AI, sistem pengeluaran pintar dan teknologi berkaitan memberi peluang pengusaha melihat sendiri penyelesaian yang sedang dibangunkan oleh industri.

Bagi sektor pertanian, misalnya, teknologi mekanisasi, sistem pemantauan tanaman, pengairan pintar dan pemprosesan hasil boleh membuka ruang meningkatkan produktiviti serta mengurangkan pembaziran.

Dalam sektor pembuatan, teknologi automasi dan sistem kawalan kualiti membantu syarikat menilai peluang meningkatkan kecekapan pengeluaran. Penggunaan peralatan pintar turut memperluaskan keupayaan kerja sekali gus meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam pelbagai aplikasi industri.

Namun kos pelaksanaan, kemahiran pekerja, keperluan penyelenggaraan, keserasian dengan sistem sedia ada dan pulangan pelaburan perlu dinilai terlebih dahulu.

PELUANG MALAYSIA

Bagi syarikat Malaysia, jaringan itu boleh membuka peluang mendapatkan bekalan bahan, meneroka pengedaran dan membangunkan produk secara bersama atau menilai pemindahan teknologi. Persatuan perdagangan dan dewan perniagaan perlu membantu ahli mengenal pasti syarikat sasaran, menyusun pertemuan perniagaan dan mengadakan sesi susulan selepas ekspo.

Seorang pengusaha gaharu hibrid MyKynam, Calvin Leong Siu Cheong berkata, pendekatan secara kluster yang disusun mengikut sektor berpotensi menjadikan kunjungan beliau ke ekspo itu lebih berfokus, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana yang mempunyai sumber kewangan serta tenaga kerja terhad.

Persoalannya, bagaimana komuniti perniagaan Malaysia boleh memanfaatkan peluang ini secara lebih sistematik?

Langkah pertama ialah mengenal pasti ekspo bersesuaian dengan sektor masing-masing. Tidak semua syarikat perlu menghadiri ekspo seumpamanya. Pengeluar mesin, pengusaha makanan, syarikat teknologi, pemain pertanian dan pengusaha produk pengguna mungkin memerlukan pameran khusus yang berbeza.

Langkah kedua, menyediakan sasaran sebelum berangkat. Syarikat perlu mengetahui produk yang disasarkan, teknologi yang mahu dinilai, pembekal yang hendak ditemui serta maklumat diperlukan untuk membuat keputusan.

Seterusnya, memastikan setiap lawatan menghasilkan tindakan susulan. Agensi kerajaan, persatuan industri dan dewan perniagaan pula boleh membantu menyediakan takwim ekspo antarabangsa mengikut sektor, berkongsi maklumat mengenai pameran yang relevan serta memudah cara penyertaan delegasi perdagangan Malaysia.

Usaha ini tidak seharusnya tertumpu kepada China sahaja. Ekspo di negara lain juga boleh menjadi sumber penting mendapatkan teknologi, pengetahuan dan jaringan industri. Yang penting, memilih platform tepat berdasarkan keperluan perniagaan.

Penyertaan dalam ekspo antarabangsa wajar diukur berdasarkan hasil dicapai selepas lawatan. Antaranya peluang perniagaan dikenal pasti, teknologi yang dinilai, bakal rakan usaha sama yang disaring, kos yang berpotensi dijimatkan serta produk baharu boleh dibangunkan.

Komuniti perniagaan Malaysia perlu membina budaya pencarian maklumat dan pengetahuan industri secara berterusan. Perubahan teknologi dan pasaran berlaku dengan pantas, sedangkan keputusan perniagaan yang dibuat tanpa maklumat mencukupi boleh meningkatkan risiko dan mengurangkan daya saing. –UTUSAN

PENULIS ialah pengamal media dan penulis politik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini