Mangsa kebakaran kilang terperangkap di tangga kecemasan

Mangsa kebakaran kilang terperangkap di tangga kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan sekurang-kurangnya 26 pekerja maut dalam kebakaran kilang gula-gula pada 21 November lalu, dengan kebanyakan mangsa ditemukan di tingkat dua bangunan itu.

Lebih 600 anggota penyelamat termasuk tentera, polis, petugas Palang Merah dan sukarelawan masih meneruskan operasi mencari lapan lagi pekerja yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu.

Kebanyakan mangsa dipercayai terperangkap ketika cuba menyelamatkan diri menuju pintu keluar kecemasan di tingkat dua bangunan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebakaran berlaku di kilang PT Fonusa Agung Mulia di daerah Serang, wilayah Banten, berhampiran ibu negara, Jakarta.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Banten, Al Amrad berkata, operasi pencarian tertumpu di bahagian belakang bangunan kilang tiga tingkat itu.

Beliau berkata, operasi berdepan kesukaran berikutan timbunan runtuhan, asap yang masih menyelubungi kawasan berkenaan serta kebakaran kecil yang sesekali tercetus semula.

Kebanyakan mangsa ditemukan berhampiran laluan menuju ke tangga kecemasan, tidak jauh dari kawasan yang dipercayai menjadi lokasi permulaan kebakaran.

“Sebahagian besar mangsa ditemukan di tingkat dua kilang itu dan kebanyakan mayat mengalami kesan kebakaran yang teruk,” kata seorang anggota penyelamat yang hanya dikenali sebagai Jajuli.

Beliau berkata, pekerja yang cuba menuju ke pintu keluar kecemasan terpaksa melalui beberapa koridor dan selekoh, manakala kedudukan tangga yang berhampiran dengan lokasi kebakaran dipercayai menyukarkan usaha menyelamatkan diri ketika api merebak ke seluruh bangunan.

Beberapa mangsa turut ditemukan dalam keadaan berkumpul, dipercayai terperangkap ketika cuba melarikan diri.

Menurutnya, masalah pada lif juga mungkin menjejaskan usaha pemindahan pekerja dari bangunan berkenaan.

Ketua Perubatan Polis Banten, Komisioner Gusti Gede Dharma Arimbawa berkata, pemeriksaan awal mendapati mayat yang ditemukan setakat ini membabitkan 26 mangsa.

Daripada jumlah itu, tujuh adalah lelaki dan sembilan wanita, manakala 10 lagi terlalu rentung untuk dikenal pasti secara fizikal.

Sampel DNA akan digunakan bagi mengesahkan identiti mangsa dengan membandingkannya dengan senarai pekerja yang masih hilang.

Kira-kira 300 pekerja berada di dalam kilang ketika kebakaran tercetus, dipercayai berpunca daripada sebuah unit penyejuk di tingkat dua bangunan itu.

Sebahagian besar pekerja berjaya menyelamatkan diri, manakala pasukan penyelamat membantu membawa keluar 29 pekerja, dengan lima daripada mereka dimasukkan ke hospital akibat kecederaan.- AP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini