KUALA LUMPUR: Keluarga Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr Abdul Samad Muhammad Said, berharap masyarakat terus mengenang tokoh sastera tersohor itu menerusi karya-karyanya serta segala perkara baik yang dilakukan sepanjang hayatnya.
Anak keempat Allahyarham, Az Abd Samad, 45, berkata bapanya banyak meninggalkan pesanan bermakna menerusi karya puisi, termasuk bait sajak yang mengingatkan manusia mengenai kehidupan, dosa dan pahala.
Beliau berkata, antara bait puisi yang cukup dekat dengan prinsip kehidupan bapanya ialah, ‘Kita datang ini sebagai tetamu senja. Bila hujung nanti bawa dosa, bawa pahala’.
Katanya, walaupun Allahyarham tidak sempat menitipkan pesanan terakhir kerana berada dalam keadaan tidur sebelum menghembuskan nafas terakhir, bait puisi berkenaan mencerminkan perkara yang sering dikongsikan bapanya ketika hayatnya.
“Saya harap masyarakat dapat mengingati beliau menerusi karya-karyanya dan perkara-perkara baik yang telah beliau lakukan sepanjang hayat,” katanya ketika ditemui di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.
Berkongsi detik terakhir bersama bapanya, Az berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang dengan dikelilingi ahli keluarga terdekat, cucu serta rakan, meskipun beberapa adik-beradiknya menetap di luar negara.
Katanya, bapanya yang mengalami masalah kesihatan disebabkan faktor usia akan sentiasa dikenang sebagai individu aktif, gemar berjalan kaki, bersederhana dalam pemakanan serta sering menghabiskan masa di kedai buku.
“Beliau sentiasa membaca dan berkongsi ilmu. Ramai yang menyayangi beliau dan saya amat bersyukur menjadi anaknya. Saya memohon semua pihak terus mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham,” katanya.
Sementara itu, Az memaklumkan solat jenazah Allahyarham dijadualkan berlangsung jam 10 pagi esok di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini.
Terdahulu, jenazah Allahyarham, dibawa dari HKL ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan tiba pada jam 10.10 malam tadi.
Anak kedua Allahyarham, Helmy Abdul Samad, 63, memaklumkan bapanya meninggal dunia pada usia 91 tahun kira-kira jam 6.10 petang tadi di HKL.
Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, dimasukkan ke HKL petang semalam akibat sakit tua dan turut menghidap diabetes.
Abd Samad menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985 dan menghasilkan pelbagai karya merangkumi novel, cerpen, puisi, drama serta esei yang mengangkat persoalan kehidupan dan realiti masyarakat.
Antara karya terkenal beliau ialah novel Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi.











