Muthu dibebaskan tanpa rayuan?

Muthu dibebaskan tanpa rayuan?

MUHAMMAD Asalan Ramlan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembatalan penggantungan seumur hidup terhadap bekas Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS), Datuk S.M. Muthu oleh pentadbiran baharu badan induk itu dipersoalkan, terutamanya apabila tindakan itu didakwa dibuat tanpa rayuan rasmi, sekali gus mendorong desakan supaya Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) meneliti proses berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Induk POS, Muhammad Asalan Ramlan, mempersoalkan asas pembebasan Muthu dan empat lagi bekas pegawai persatuan itu, yang sebelum ini digantung mengikut peruntukan perlembagaan POS.

Lebih mencetuskan tanda tanya, pembatalan penggantungan itu berlaku 21 hari selepas anak Muthu, Ganesh Marathamuthu, memenangi jawatan Presiden POS dengan menewaskan Nurhayati Karim pada pemilihan 1 November lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apakah ini satu perancangan untuk memastikan Muthu bebas daripada penggantungan seumur hidup sedangkan beliau tidak mengemukakan rayuan sebelum ini?” kata Asalan.

Penggantungan itu dikenakan pada Julai 2025 selepas enam pegawai mempertikaikan keputusan Mesyuarat Agung POS pada April tahun sama, selain menganjurkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang mengisytiharkan mesyuarat itu tidak sah.

Mereka dikenakan tindakan mengikut Perkara 13.5, 13.6 dan 13.7 Perlembagaan POS, namun pentadbiran baharu membatalkan penggantungan terhadap lima daripada enam individu terbabit.

“Jika tindakan penggantungan sebelum ini dibuat mengikut peruntukan perlembagaan, apakah asas dan proses yang digunakan untuk membatalkannya? Adakah rayuan rasmi dikemukakan, adakah siasatan semula dijalankan dan apakah peruntukan perlembagaan yang menjadi sandaran kepada keputusan tersebut?” katanya.

Asalan turut mempersoalkan pelantikan semula Muthu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib POS serta wakil persatuan itu sebagai Ahli Majlis Olahraga Malaysia (MA) selepas dibebaskan daripada penggantungan.

“Orang ramai dan ahli persatuan berhak mengetahui bagaimana seseorang yang sebelum ini dikenakan hukuman paling berat dalam organisasi bukan sahaja dibebaskan, malah diberikan semula peranan penting dalam pentadbiran dan tatatertib persatuan. Penjelasan yang telus perlu diberikan bagi mengelakkan sebarang persepsi konflik kepentingan atau layanan istimewa,” katanya.

Selain isu pembebasan itu, Asalan meminta PJS meneliti korum dan kelayakan perwakilan, kesahihan keputusan mesyuarat, kebebasan badan tatatertib, ketelusan pentadbiran, pengurusan kewangan serta pencalonan wakil POS ke Ahli Majlis MA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini