GEORGE TOWN: Pendidikan mampu mengubah kehidupan seseorang, keluarga dan generasi akan datang dan peluang menimba ilmu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membina masa depan lebih baik.
Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, setiap graduan perlu menghargai pengorbanan ibu bapa, keluarga serta pendidik yang menjadi tunjang kepada kejayaan mereka sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah.
Baginda bertitah, ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian perlu dimanfaatkan untuk berbakti kepada masyarakat dan negara, selain menjadi individu yang berjaya tanpa melupakan asal usul serta sentiasa merendah diri.
”Segulung ijazah bukanlah pengakhiran perjalanan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar.
”Jadilah insan yang berjaya tanpa melupakan asal usul, berilmu tanpa meninggi diri dan sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat,” titah baginda pada Sidang Pertama Upacara Konvokesyen Ke-64 USM di Dewan Tuanku Syed Putra, di sini hari ini.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha USM memperluas peluang pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan menerusi program Siswa Sulung yang memberi ruang kepada mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, baginda mengucapkan tahniah kepada hampir 9,000 graduan yang diraikan pada konvokesyen kali ini, termasuk 16 graduan sulung daripada enam program baharu peringkat Ijazah Sarjana serta penerima Pingat Emas Canselor.
Baginda turut mengucapkan tahniah kepada Dr. Zainal Arifin Mohd. Ishak dan Dr. Tan Sooi Beng atas penganugerahan gelaran Profesor Emeritus dan Profesor Emerita sebagai pengiktirafan terhadap jasa serta sumbangan mereka kepada universiti.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, konvokesyen bukan sekadar meraikan penganugerahan ijazah sebaliknya mengiktiraf nilai ilmu, sumbangan serta pengorbanan pelbagai pihak yang membawa kepada kejayaan para graduan.
Beliau berkata, USM komited memastikan bakat yang dilahirkan universiti itu terus relevan dengan perkembangan global dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.
Katanya, sebagai universiti penyelidikan berteraskan kelestarian USM turut beriltizam menjadikan ilmu sebagai pemangkin transformasi sosioekonomi, khususnya dalam membantu golongan terkebawah.
”USM mahu penyelidikan yang tidak terhenti pada helaian jurnal, tetapi diterjemahkan kepada dasar yang lebih adil, teknologi yang mudah dicapai, persekitaran yang terpelihara dan komuniti yang lebih berdaya tahan,” katanya. – UTUSAN











