KUALA NERUS : Beberapa kawasan di sini termasuk di Taman Uda Murni, Tok Jembal di sini mula dinaiki air susulan hujan lebat sejak petang semalam sekali gus memaksa penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Tok Jembal.
Mangsa banjir, Rokiah Salae, 37, berkata, air mula memasuki rumahnya petang semalam dengan paras mencecah lutut, menyebabkan dia terpaksa segera menyelamatkan barangan dan membawa keluar empat orang anaknya.
Menurutnya, dia sudah mula mengemas barang sejak malam semalam sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir berikutan hujan berterusan.
“Air naik dengan cepat petang semalam sehingga masuk ke dalam rumah. Saya memang sudah bersiap-siap mengemas barang sejak kerana bimbang banjir.
“Keadaan lebih merisaukan kerana saya mempunyai anak istimewa berusia lima tahun yang menghidap sindrom Goldenhar dan perlu diberi perhatian ketika proses pemindahan,” katanya ketika ditemui di sini.
Dia yang bekerja sebagai tukang masak dan menyewa rumah di kawasan itu sejak empat tahun lalu berkata, dia sudah beberapa kali berdepan situasi sama sehingga terpaksa berpindah setiap kali banjir melanda.
Bagi warga emas, Zabedah Umar, 72, yang tinggal di kawasan berkenaan sejak 1975 berkata, air mula memasuki rumahnya sekitar pukul 5 petang.
Menurutnya, kawasan perumahan di Taman Uda Murni Permai itu memang sering dilanda banjir.
“Kalau hujan lebat, air cepat naik kerana longkang di kawasan ini rendah dan tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.
“Kadang-kadang hujan sekejap sahaja tetapi air sudah masuk ke dalam rumah. Kami memang bimbang apabila cuaca tidak menentu begini,” katanya.
Zabedah berkata, dia dibawa keluar oleh anggota bomba selepas keadaan air semakin meningkat dan kini ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal.
Sementara itu, data Infobencana JKM, merekodkan seramai 123 mangsa daripada 36 keluarga dipindahkan ke PPS tersebut. – UTUSAN











