BERLIN: Ratusan sekolah di Jerman dan Denmark menerima ugutan bom menerusi emel, namun pihak berkuasa di kedua-dua negara percaya ancaman itu tidak berasas.
Di Jerman, kira-kira 450 sekolah menerima emel berunsur ugutan bom pada pagi Isnin, menurut laporan akhbar Bild yang memetik kenyataan polis di bandar Freiburg, barat daya negara itu.
Polis mengesahkan menerima laporan mengenai dakwaan ugutan bom di beberapa sekolah, termasuk menerusi talian kecemasan polis. Semua ‘mel berkenaan dipercayai menggunakan kandungan mesej yang sama dengan tajuk ‘Maut Menanti Anda’.
Penyiasat kini sedang mengenal pasti pihak yang menghantar mesej berkenaan. Polis di negeri Thuringia, timur Jerman, menyiasat kes itu sebagai perbuatan mengganggu ketenteraman awam menerusi ancaman melakukan jenayah.
Bagaimanapun, pihak penyiasat setakat ini tidak menganggap ugutan berkenaan sebagai ancaman serius dan menasihatkan sekolah supaya tidak mengosongkan premis masing-masing.
Namun, beberapa sekolah dilaporkan sudah menghantar pulang murid pada pagi Isnin, manakala rondaan polis turut dihantar ke lokasi terbabit.
Ugutan serupa turut dilaporkan di beberapa sekolah di negeri Lower Saxony, utara-tengah Jerman. Perkara itu disahkan Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pendidikan dan Hal Ehwal Kebudayaan negeri berkenaan yang berpusat di Hanover.
Di Denmark, polis turut menyiasat ugutan bom yang menyasarkan beberapa sekolah di seluruh negara itu, namun menegaskan tiada sebab untuk orang ramai berasa bimbang.
Pihak berkuasa juga memaklumkan tiada keperluan ketika ini untuk mengosongkan sekolah atau melaksanakan langkah keselamatan khas.
Menteri Dalam Negeri Denmark, Pia Olsen Dyhr, menyifatkan emel berkenaan sebagai amat membimbangkan.
“Setakat ini, nampaknya ia hanya ugutan, namun amat membimbangkan apabila kita hidup dalam masyarakat di mana perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya.
Siri ugutan palsu dan serangan siber kebelakangan ini turut menyasarkan sekolah, pasar raya, bank darah, sistem trafik udara serta penyiar di seluruh Eropah sehingga mengganggu kehidupan harian.
Insiden terbaharu itu berlaku hanya beberapa minggu selepas ratusan sekolah di Itali, Scotland, Ireland dan Ireland Utara menerima ugutan serupa, sehingga menyebabkan pemindahan dilakukan di beberapa kawasan.
Pihak berkuasa di keempat-empat negara menganggap ugutan berkenaan sebagai ancaman palsu.
Minggu lalu, lebih 10 sekolah di Sepanyol turut dikosongkan selepas menerima ugutan bom menerusi emel, manakala ribuan sekolah di Itali berdepan ancaman sama awal bulan ini.
Syarikat penerbangan di seluruh Eropah juga berdepan beberapa siri ugutan bom sejak kebelakangan ini yang dipercayai pihak berkuasa mempunyai kaitan dengan kempen terancang.-AGENSI











