PETALING JAYA:Eksport Malaysia meningkat 37.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.811 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, mencatatkan pertumbuhan terpantas bagi tempoh sama sejak 1990.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, Prestasi itu turut menyumbang kepada lebihan dagangan sebanyak RM274.81 bilion, tertinggi pernah direkodkan bagi tempoh berkenaan.
Menurutnya, eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai pemacu utama dengan peningkatan 53.9 peratus kepada RM891.99 bilion, mencerminkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi global.
“Eksport barangan bukan E&E pula meningkat 24 peratus kepada RM919.17 bilion, dengan sektor berkenaan mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM74.03 bilion.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyertai program anjuran Matrade turut menyumbang kepada prestasi eksport negara.
“Seramai 7,434 PKS menjana eksport berjumlah RM63.60 bilion, selain mencatatkan lebihan dagangan RM12.04 bilion dan menyokong lebih 383,000 peluang pekerjaan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 7,211 PKS menyumbang RM57.29 bilion menerusi eksport barangan bukan E&E, mewakili kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan eksport PKS,” katanya dalam kenyataan.
Penyertaan PKS turut merangkumi pelbagai sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), termasuk makanan diproses, kimia dan bahan kimia, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam serta produk berasaskan minyak sawit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian eksport itu membuktikan keupayaan pemain industri tempatan untuk bersaing dalam rantaian nilai global.
“Bagaimanapun, tumpuan seterusnya adalah memperluas penglibatan PKS dalam pasaran eksport menerusi intervensi strategik dan sokongan berterusan.
“Pencapaian lebih 7,400 PKS di bawah bimbingan Matrade yang menjana eksport sebanyak RM63.60 bilion membuktikan keberkesanan intervensi strategik yang dilaksanakan secara berterusan.
“Antara inisiatif termasuk menerajui penyertaan Malaysia dalam pameran perdagangan antarabangsa bagi membantu syarikat tempatan memperoleh kontrak global bernilai tinggi.
“Matrade turut melaksanakan program pembangunan kapasiti menerusi Akademi Matrade bagi memastikan daya tahan eksport PKS dalam jangka panjang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, eksport ke pasaran bukan tradisional termasuk Afrika, Asia Tengah dan Amerika Latin meningkat 23.7 peratus kepada RM80.57 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu didorong peningkatan eksport ke Namibia sebanyak 470.2 peratus, Libya (399.8 peratus), Tanzania (47.5 peratus), Brazil (40 peratus) dan Habsyah (36.4 peratus).
Peningkatan turut dicatatkan di Angola sebanyak 27.7 peratus, Puerto Rico (18.4 peratus), Algeria (17.8 peratus), Kenya (6.2 peratus), Uzbekistan (5.7 peratus) dan Mesir (empat peratus).
Beliau berkata, bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dalam persekitaran perdagangan global yang tidak menentu, Matrade sedang menyelaraskan inisiatifnya dengan Pelan Hala Tuju 2026, sasaran Belanjawan 2027 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Langkah ini turut disokong peruntukan baharu khusus untuk eksport perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan tumpuan kepada pembangunan kapasiti serta pematuhan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Matrade juga akan memperluas strategi kepelbagaian pasaran dengan meningkatkan penglibatan di pasaran pesat membangun serta mempromosikan produk bernilai tambah tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional dan memperkukuh daya tahan perdagangan negara,” katanya. -UTUSAN











