Pelaburan AI berbilion dolar perlu dimanfaatkan syarikat tempatan

Pelaburan AI berbilion dolar perlu dimanfaatkan syarikat tempatan

CHMIEL menjangkakan AI kekal sebagai pemacu utama pelaburan, namun tumpuan industri akan beralih daripada pengumuman pelaburan kepada hasil dan pulangan sebenar yang mampu dijana.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemasukan pelaburan berbilion dolar dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan digital berpotensi melonjakkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi teknologi global, namun syarikat tempatan perlu merebut peluang itu bagi memastikan manfaatnya tidak hanya dinikmati pelabur asing.

Pengasas dan Pengerusi Chmiel Global Advisory, Georg Chmiel berkata, Malaysia perlu bergerak melangkaui penyediaan tanah, tenaga dan infrastruktur kepada syarikat teknologi antarabangsa dengan membangunkan kepakaran tempatan, melahirkan tenaga mahir serta menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mampu bersaing di peringkat global.

Beliau yang juga anggota lembaga World Digital Chamber berkata, kemasukan pelaburan teknologi merupakan permulaan kepada peluang lebih besar yang perlu diterjemahkan kepada pertumbuhan perniagaan tempatan dan peningkatan keupayaan industri negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 serta peningkatan permintaan terhadap infrastruktur AI meletakkan negara dalam kedudukan strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan teknologi.

Komitmen pelaburan Google berjumlah AS$15 bilion turut memberikan momentum kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030.

Selain itu, Sarawak juga berpotensi muncul sebagai hab AI dan pusat data, manakala hubungan kerjasama teknologi yang semakin erat dengan Perancis boleh membuka ruang pelaburan serta pemindahan kepakaran baharu.

“Pelaburan ini baik untuk Malaysia kerana membawa masuk modal, infrastruktur dan perhatian antarabangsa. Namun, persoalan lebih penting ialah apa yang berlaku selepas itu.

“Adakah syarikat Malaysia mendapat bahagian daripada pertumbuhan ini? Adakah kita membangunkan tenaga kerja yang mampu membina dan mengurus teknologi berkenaan atau sekadar menyediakan infrastruktur sementara pihak lain menikmati sebahagian besar nilai tambah?” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Chmiel berkata, peluang AI perlu diperluaskan melangkaui pembinaan pusat data dengan membangunkan ekosistem industri yang membolehkan syarikat tempatan menjadi pembekal, rakan teknologi dan seterusnya pengeluar produk untuk pasaran antarabangsa.

Menurutnya, sumber tenaga dan kemudahan infrastruktur di Sarawak berpotensi menarik pelaburan AI berskala besar sekali gus membuka peluang kepada firma kejuruteraan, penyedia teknologi dan pembekal tempatan.

Bagaimanapun, pembangunan ekosistem itu memerlukan perancangan menyeluruh merangkumi keperluan tenaga, bekalan air, keselamatan siber dan kelestarian.

“Membina pusat data adalah satu perkara, tetapi membangunkan industri di sekelilingnya merupakan perkara berbeza.

“Syarikat Malaysia perlu menjadi pembekal, rakan teknologi dan akhirnya membangunkan produk sendiri yang boleh dipasarkan ke luar negara. Inilah cara kita memperoleh lebih banyak manfaat daripada pelaburan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu mempercepat penggunaan AI bagi meningkatkan produktiviti, memperkemas operasi serta memperbaiki perkhidmatan pelanggan.

Berdasarkan pengalamannya menerusi syarikat berpangkalan di Malaysia seperti BrioHR, Juwai IQI dan Xamble, teknologi berkenaan berpotensi mengubah operasi dalam sektor sumber manusia, hartanah dan platform digital.

Katanya, PKS boleh memulakan penggunaan AI melalui automasi tugasan pentadbiran, penambahbaikan proses kerja serta penggunaan data perniagaan bagi membantu membuat keputusan lebih tepat.

Beliau turut berpandangan penggunaan model AI berskala kecil, sumber terbuka dan alternatif kos lebih rendah, termasuk yang dibangunkan di China, boleh memperluaskan akses teknologi kepada PKS yang mempunyai kekangan peruntukan.

Merujuk kepada laporan The Australian yang memetik keterangan pengasas Vault Cloud, Rupert Taylor Price dalam siasatan parlimen Australia berkaitan AI, model AI lebih ringkas dan murah yang dibangunkan secara tempatan berpotensi melaksanakan sehingga 90 peratus tugasan AI tanpa memerlukan sistem AI termaju daripada syarikat seperti OpenAI dan Anthropic.

Chmiel berkata, pendekatan itu membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk menggunakan, menyesuaikan dan melaksanakan model AI mengikut keperluan operasi masing-masing tanpa bergantung sepenuhnya kepada teknologi yang dibangunkan syarikat luar.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan syarikat supaya menilai aspek keselamatan data, kebolehpercayaan, tadbir urus dan sokongan jangka panjang sebelum menggunakan teknologi berkenaan, khususnya apabila melibatkan maklumat sulit perniagaan serta pelanggan.

“Kos lebih rendah tidak semestinya bermaksud lebih baik. Syarikat perlu mengetahui ke mana data mereka disalurkan dan bagaimana ia dilindungi.

“Namun, alternatif lebih mampu milik tidak seharusnya diketepikan hanya kerana ia bukan daripada syarikat teknologi terbesar. Akses lebih luas kepada AI boleh menyebarkan manfaat peningkatan produktiviti kepada lebih banyak perniagaan di Malaysia,” katanya.

Mengulas prospek 2027, Chmiel menjangkakan AI kekal sebagai pemacu utama pelaburan, namun tumpuan industri akan beralih daripada pengumuman pelaburan kepada hasil dan pulangan sebenar yang mampu dijana.

Katanya, ketegangan geopolitik, sekatan perdagangan semikonduktor, peningkatan permintaan tenaga serta ketidaktentuan pulangan komersial berpotensi menguji pertumbuhan sektor berkenaan.

Beliau berkata, kejayaan Malaysia dalam sektor AI tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, pertumbuhan syarikat tempatan dan pembangunan teknologi yang boleh dieksport.

“Persoalan pada tahun depan lebih menjurus kepada sama ada AI membantu perniagaan meningkatkan keuntungan dan produktiviti serta memberikan pulangan sebenar terhadap pelaburan.

“Saya optimis terhadap Malaysia, tetapi angka pelaburan sahaja tidak menentukan kejayaan. Peluang sebenar adalah menterjemahkan pelaburan itu kepada perniagaan tempatan yang lebih kukuh, kemahiran baharu dan daya saing antarabangsa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini