KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegur menteri dan timbalan menteri yang masih gagal mengemukakan jawapan bertulis bagi soalan dikemukakan Ahli Parlimen meskipun perkara itu dimaklumkan akan diselesaikan sebelum ini.
Teguran itu dibuat selepas Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim membangkitkan masalah berkenaan apabila mendakwa masih terdapat banyak soalan yang dijanjikan untuk dijawab secara bertulis namun belum diterima sehingga kini.
Awang Solahuddin berkata, kelewatan itu menyukarkan Ahli Parlimen mendapatkan maklumat dan penjelasan daripada kementerian berkaitan terhadap persoalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.
“Tan Sri Yang di-Pertua, saya nak mengadu sikit. Soalan-soalan yang menteri atau timbalan menteri kata nak jawab secara bertulis, sampai sekarang ada banyak yang saya tak terima lagi. Jadi saya nak mengadu kepada Tan Sri,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas aduan itu, Johari mengarahkan Ahli Parlimen berkenaan menyenaraikan semua soalan yang masih belum menerima jawapan bertulis bagi membolehkan perkara itu diteliti dan tindakan susulan diambil.
Beliau turut berkata akan mendapatkan penjelasan secara langsung daripada menteri terbabit selepas pukul 11.30 pagi.
“OkAy, ini respon saya. Sebentar lagi, sekarang juga, bukan sebentar lagi, Yang Berhormat tuliskan semua soalan-soalan yang belum dijawab. Selepas 11.30 pagi saya nak ikut menteri itu sendiri,” katanya.
Sebelum itu, Awang Solahuddin membangkitkan persoalan berkaitan cadangan peluasan julat pendapatan bercukai yang layak menikmati kadar cukai 15 peratus bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau meminta penjelasan sama ada kerajaan bersedia meluaskan julat pendapatan bercukai yang menikmati kadar berkenaan sekiranya belum bersedia menurunkan kadar cukai PMKS kepada 15 peratus.
Beliau turut meminta kementerian menyatakan anggaran kos kepada kerajaan serta jumlah PMKS yang dijangka mendapat manfaat daripada langkah berkenaan.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan secara umumnya terbuka menerima cadangan berkenaan namun maklumat khusus mengenai perkara itu akan diberikan melalui jawapan bertulis.
“Secara amnya kerajaan bersedia menerima semua cadangan, tetapi untuk menjawab soalan khusus itu, saya akan memberikan data secara bertulis,” katanya. – UTUSAN











