Selagi nyawa dikandung badan, Amy Search terus cari peminat baharu - Utusan Malaysia

Selagi nyawa dikandung badan, Amy Search terus cari peminat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Selagi nyawa dikandung badan. Selagi saya masih berada dalam industri, selagi itulah saya akan mencari peminat baharu.”

Demikian kata penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search bertekad untuk terus menjelajah ke kawasan pedalaman bagi mendekati peminat lama selain mencari kelompok peminat baharu.

Menurut Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, usaha tersebut bukan sekadar untuk memastikan namanya terus relevan dalam industri muzik, sebaliknya mahu memperkenalkan karya-karyanya kepada generasi muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peminat baharu ini termasuk anak-anak kecil yang datang menonton persembahan bersama ibu bapa mereka. Mereka inilah yang akan menjadi kelompok peminat generasi seterusnya.

“Bayangkan apabila mereka sudah bersekolah atau bekerja, mereka akan teringat pernah menonton persembahan saya bersama ibu bapa ketika kecil.

“Mereka bukan sekadar mengingati persembahan itu, tetapi juga kenangan bersama keluarga. Bagi saya, perkara itu sangat menyentuh emosi,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media A Night of Soul, baru-baru ini.

Dalam masa sama, vokalis kumpulan Search itu mendedahkan dia sudah melakukan siri jelajah itu sejak dua dekad lalu, termasuk menyertai festival makanan tanpa terlalu memikirkan soal bayaran.

“Tahun ini saya tidak buat konsert besar, jadi saya banyak pergi ke kawasan pedalaman untuk bertemu peminat. Saya pergi menyanyi dan buat persembahan secara sederhana.

“Bayaran pun lebih kurang sahaja, tetapi yang penting saya dapat bertemu peminat. Ada antara mereka yang meminati muzik rock tetapi tidak pernah berpeluang pergi ke konsert.

“Saya pernah buat perkara sama sekitar tahun 2000, termasuk pergi ke kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Ketika itu, saya sanggup tidur di balai raya dan mandi di luar semata-mata mahu bertemu mereka,” kongsinya.

Pun begitu, penyanyi lagu Isabella itu percaya seseorang artis tidak seharusnya hanya bergantung kepada kelompok peminat sedia ada, sebaliknya perlu sentiasa berusaha membina hubungan dengan generasi baharu.

“Saya ada peminat daripada generasi pertama, kedua dan ketiga. Bagi saya, perkara itu sangat penting. Selagi kita mahu terus berada dalam industri, selagi itulah kita tidak boleh berhenti mencari peminat baharu.

“Saya bukan dilahirkan dalam keluarga kaya. Saya cuma budak kampung yang mempunyai impian. Dahulu, orang tidak percaya dengan impian saya, ada yang tidak suka muzik dan imej saya.

“Jadi, perjalanan saya dalam industri ini bukan sekadar kerana saya meminati muzik rock. Ia lebih daripada itu. Ada peminat datang membawa poster lama yang disimpan dengan sangat elok. Bila dapat jumpa saya, mereka menangis.

“Mereka cakap tak sangka akhirnya dapat jumpa saya. Bayangkan, majalah Variapop pun sekarang sudah tiada, tetapi mereka masih simpan poster itu. Bila tengok mereka menangis kerana terlalu gembira dapat berjumpa, saya sendiri pun terharu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini