UPSI lakar sejarah, universiti pertama di Malaysia terima pensijilan MS ISO 21101:2014

UPSI lakar sejarah, universiti pertama di Malaysia terima pensijilan MS ISO 21101:2014

UPSI Adventure Park yang terletak di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City diiktiraf menerima pensijilan MS ISO 21101:2014 – Adventure Tourism Safety Management System (ATSMS).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama di Malaysia yang berjaya memperoleh pensijilan MS ISO 21101:2014 – Adventure Tourism Safety Management System (ATSMS) menerusi AURORA (Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy), Pusat Kokurikulum UPSI.

Naib Canselor, Prof Datuk Md Amin Md Taff berkata lebih membanggakan, kejayaan ini menyaksikan UPSI Adventure Park (UAP) muncul sebagai taman pengembaraan pertama di Malaysia yang menerima pensijilan tersebut, sekali gus meletakkan UPSI sebagai institusi peneraju dalam pengurusan keselamatan aktiviti pengembaraan, rekreasi dan pendidikan luar negara.

Beliau menganggap pengiktirafan berprestij itu diperoleh selepas UPSI melalui proses auditan yang rapi dan menyeluruh, melibatkan penilaian terhadap sistem pengurusan keselamatan, pengurusan risiko, kompetensi petugas, prosedur operasi standard (SOP), kesiapsiagaan kecemasan serta pelaksanaan aktiviti pengembaraan yang sistematik dan berteraskan piawaian antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan universiti untuk menjadi peneraju kecemerlangan pendidikan, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam pembangunan amalan profesional dan keselamatan industri.

“UPSI sentiasa komited untuk menjadi peneraju dalam bidang pendidikan serta menjadi model rujukan (role model) kepada industri rekreasi dan pendidikan luar di Malaysia. Kejayaan memperoleh pensijilan MS ISO 21101:2014 ini membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi juga mampu menetapkan penanda aras terbaik dalam pengurusan keselamatan aktiviti pengembaraan,” katanya.

Menurut beliau, pengiktirafan ini mencerminkan kesungguhan UPSI membudayakan keselamatan, profesionalisme dan penambahbaikan berterusan dalam setiap program yang dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Profesor Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim, menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kedudukan AURORA sebagai pusat kecemerlangan latihan, pembangunan kompetensi dan pengurusan keselamatan aktiviti pengembaraan.

Beliau berkata, pelaksanaan MS ISO 21101:2014 memberikan penekanan kepada pendekatan pengurusan keselamatan yang sistematik, bermula daripada perancangan aktiviti, pengenalpastian hazard, penilaian dan kawalan risiko, sehinggalah kepada pemantauan serta penambahbaikan operasi.

“Pensijilan ini bukan bermaksud aktiviti pengembaraan bebas sepenuhnya daripada risiko, tetapi membuktikan bahawa UPSI mempunyai sistem pengurusan yang tersusun untuk mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko secara berterusan, ” katanya.

“Melalui AURORA dan UPSI Adventure Park, kita berhasrat menjadikan pencapaian ini sebagai platform pemindahan ilmu, pembangunan kompetensi tenaga pengajar serta perkongsian amalan terbaik kepada universiti, agensi kerajaan dan penggiat industri rekreasi serta pendidikan luar,” jelas beliau.

Kejayaan ini, katanya, turut membuka peluang kepada UPSI memperluas kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dalam pembangunan latihan profesional, penyelidikan, pensijilan kompetensi dan pemerkasaan budaya keselamatan dalam industri pengembaraan di Malaysia.

Menurut Dr Mazuki dengan pengiktirafan tersebut, UPSI bukan sahaja memperkukuh reputasinya sebagai universiti pendidikan terkemuka, malah berpotensi menjadi pusat rujukan nasional dalam pengurusan keselamatan pelancongan pengembaraan dan pendidikan luar berasaskan MS ISO 21101:2014.

Beliau berkata pencapaian ini membuktikan bahawa kecemerlangan pendidikan bukan sekadar melahirkan graduan berpengetahuan dan berkemahiran, tetapi turut membentuk amalan profesional yang selamat, bertanggungjawab dan diyakini industri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini