Bawa pendidikan tinggi ke penjara

Bawa pendidikan tinggi ke penjara

SEMUA pihak perlu memastikan mereka yang pernah tersilap langkah diberi peluang untuk memperbaiki diri, seterusnya menyumbang semula kepada masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELALUI inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Penjara, Program Diploma Keusahawanan “Pelita Suluh Budiman” diperkenalkan sebagai program pendidikan tinggi pertama di Malaysia yang dilaksanakan sepenuhnya oleh UPSI di dalam penjara.

Inisiatif perintis ini membawa pengalaman pembelajaran langsung ke dalam institusi pemulihan, merapatkan jurang antara pendidikan tinggi dan penghuni penjara.

Program ini merupakan bukti komitmen semua pihak dalam memastikan mereka yang pernah tersilap langkah diberi peluang untuk memperbaiki diri, seterusnya menyumbang semula kepada masyarakat.

Kohort pertama program ini bermula pada September 2022, kesemua 20 orang pelajar dari kalangan prospek muda berjaya menamatkan pengajian pada September 2024 dengan dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI.

Kohort kedua dibiayai penuh oleh Bank Islam Berhad yang melibatkan 24 orang pelajar, bermula pada Mac 2025 dan dijangka tamat pada Mac 2027.

Program ini menawarkan kurikulum komprehensif merangkumi asas keusahawanan, pengurusan kewangan, pemasaran dan pembangunan perniagaan, disamping modul pembinaan sahsiah dan kepimpinan.

Kuliah dijalankan sepenuhnya di bilik khas di Penjara Kluang, Johor yang dinamakan Bilik Kuliah UPSI yang telah diubahsuai untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Komitmen Bersama 
Jabatan Penjara memberikan komitmen sepenuhnya dari segi logistik, keselamatan dan sokongan moral kepada para prospek di dalam program. Manakala UPSI memainkan peranan penting dari perspektif akademik dengan menyediakan kurikulum yang relevan, tenaga pengajar yang berkualiti dan penilaian yang memenuhi piawaian universiti.

Tenaga pengajar UPSI menggunakan kaedah pedagogi yang interaktif dan praktikal, mengambil kira latar belakang dan keperluan khusus para pelajar.

Pendekatan ini memastikan proses pembelajaran tidak hanya berkesan, tetapi juga relevan dengan realiti yang akan dihadapi pelajar setelah mereka kembali ke masyarakat kelak.

Semoga inisiatif murni ini akan terus berkembang dan diikuti oleh institusi-institusi pendidikan lain, sekaligus memperkukuh lagi sistem pemulihan negara ke arah masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang. – UTUSAN

DR. RAJA NAZIM RAJA ABDULLAH
Penyelaras Program Diploma Keusahawanan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN