TEHERAN: Iran mendedahkan sebuah sistem pelancar peluru berpandu baharu di kemudahan bawah tanah sebagai bukti ketenteraan negara itu masih berupaya melancarkan serangan jika perang dengan Amerika Syarikat (AS) kembali memuncak.
Televisyen kerajaan Iran menyiarkan rakaman dari pangkalan peluru berpandu bawah tanah yang memaparkan pasukan separa tentera Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memperkenalkan pelancar terbaharu yang didakwa mampu melepaskan dua peluru berpandu bahan api cecair secara serentak.
Sistem baharu itu dilihat lebih baik berbanding pelancar berkembar sebelum ini yang hanya menggunakan peluru berpandu bahan api pepejal.
Penggunaan bahan api cecair menawarkan kecekapan lebih tinggi serta membolehkan pengendali melaras kelajuan dan trajektori peluru berpandu berkenaan.
Agensi berita Fars turut memuat naik rakaman video di platform X yang memaparkan barisan komander IRGC melawat lokasi yang digambarkan sebagai bandar peluru berpandu bawah tanah.
Meskipun lokasi sebenar pangkalan itu dirahsiakan, penyiaran rakaman tersebut bertujuan menonjolkan keupayaan peluru berpandu Teheran, sekali gus menafikan dakwaan AS sebelum ini program peluru berpandu Iran dimusnahkan, di tengah kebimbangan konflik antara kedua-dua negara kembali tegang.
Ketika majlis pelancaran sistem itu, Komander Pasukan Aeroangkasa IRGC, Brigedier Jeneral Seyyed Majid Mousavi mendakwa keupayaan pertahanan Iran berkembang dengan ketara.
“Kami menyepadukan pelbagai kejutan serta aset tempur yang sangat berkesan ke dalam struktur ketenteraan kami,” katanya.- AGENSI











