Tiga mata bernilai buat KRW FC

Tiga mata bernilai buat KRW FC

IRFAN Bakti Abu Salim. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kemenangan 2-1 ke atas Sabah FC ibarat ‘rezeki datang bergolek’ buat Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) yang sudah lama mendambakan keputusan positif dalam saingan Liga Super musim ini.

Pengendali KRW FC, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi untuk perlawanan malam tadi kerana menyedari Sabah yang kini menghuni kedudukan kelima carta liga, merupakan antara pasukan terkuat di Malaysia.

Menurutnya, beliau terharu serta amat berterima kasih kepada pemain-pemain yang telah memberikan segala-galanya untuk bangkit dari ketinggalan 0-1 dan seterusnya menghadiahkan kemenangan sulung buat penyokong setia mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya saya hanya mengharapkan satu mata sahaja pada perlawanan malam ini. Namun pemain-pemain telah mempamerkan semangat cukup memberangsangkan dan bermain sepenuh jiwa untuk memastikan kemenangan pertama pasukan malam ini (malam tadi).

“Tiga mata yang begitu bernilai bagi saya dan sudah semestinya ia menghidupkan kembali harapan buat KRW FC untuk terus bersaing dalam liga utama negara,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti mengakui teruja melihat keupayaan pasukan kendaliannya mengawal perlawanan denga penguasaan bola melebihi 50 peratus ketika berdepan pasukan seperti Sabah FC.

“Kalau teliti kembali sepanjang 90 minit perlawanan, Sabah tidak memiliki banyak peluang yang baik untuk mencetak gol, kecuali melalui sepakan percuma yang dimanfaatkan pada minit ke-31.

“Saya juga merasakan keputusan untuk memasukkan Muhammad Rizuan Muda pada separuh masa kedua sangat berbaloi apabila dia mampu mengubah rentak permainan melalui satu jaringan dan satu ‘assist’ kepada Mbarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido jelas tidak berpuas hati dengan persembahan skuad kendaliannya malam tadi dan perlu memperbaiki banyak aspek dalam persediaan ke perlawanan seterusnya.

“Awalnya kami anggap perlawanan ini sudah menjadi milik kami tetapi KRW FC menunjukkan pada separuh masa kedua bahawa mereka lebih dahagakan tiga mata itu. Kami perlu ucap tahniah kepada mereka dan memperbaiki prestasi sendiri untuk perlawanan seterusnya.

“Perlawanan seimbang pada separuh masa pertama tetapi kami mula hilang punca pada separuh masa kedua sehingga membuka peluang kepada pasukan lawan untuk menjaringkan dua gol dan seterusnya meraih kemenangan,” ujarnya.

Tambahnya, belum ada perancangan untuk berdepan Selangor FC pada perlawanan seterusnya dan beliau akan meneliti rakaman perlawanan malam tadi lebih dahulu untuk menilai banyak perkara.

“Saya tidak gembira dengan persembahan kami (Sabah FC). Perlu buat perubahan terutama dari segi sikap dan kesungguhan. Saya tahu pemain-pemain memiliki motivasi tinggi saat ini tetapi kita perlu membuktikannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini