LONDON: Pertukaran jurulatih belum mampu mengembalikan kekuatan New Zealand apabila All Blacks sekali lagi berdepan kekalahan memalukan selepas dibelasah England 12-37 pada aksi Nations Championship di Twickenham, semalam.
Kekalahan 25 mata itu bukan sahaja menjadi yang terbesar New Zealand kepada England, malah menambah tekanan terhadap ketua jurulatih, Dave Rennie yang kini menyaksikan All Blacks tewas lima daripada 12 perlawanan sejak mengambil alih tugas, sekali gus menyamai rekod kekalahan terburuk mereka dalam era profesional.
“Sebagai jurulatih, anda bertanggungjawab terhadap keputusan dan saya tidak akan berselindung bahawa kami tidak cukup bagus, malah saya juga sebahagian daripada kegagalan itu.
“Kami jauh tersasar dan ini bukan tahap yang kami mahu capai, malah saya fikir persembahan malam ini jauh lebih buruk berbanding minggu lalu,” katanya.
New Zealand sebelum ini dikejutkan Wales menerusi kekalahan 28-35 di Cardiff, kekalahan pertama kepada pasukan itu dalam tempoh 73 tahun, namun kembalinya beberapa pemain utama tidak mampu mengubah nasib mereka apabila England menguasai permainan hampir sepenuhnya.
Kekalahan itu turut menyaksikan England menewaskan All Blacks dalam dua pertemuan berturut-turut buat kali pertama sejak 2002 dan 2003, selepas turut meraih kemenangan 33-19 di Twickenham tahun lalu, sekali gus memperlihatkan betapa sukar New Zealand untuk kembali menguasai persaingan.
Kapten England, Maro Itoje mengakui kehadiran bekas kapten pasukan, Lewis Moody yang menghidap penyakit motor neurone disease (MND) memberikan suntikan semangat tambahan kepada pemain, terutama ketika menyambut haka New Zealand sebelum perlawanan.
“Lewis seorang yang sangat memberi inspirasi, beliau pernah menjadi pemain yang memberi inspirasi dan dengan diagnosis yang diterimanya, pemain-pemain tidak teragak-agak untuk menyokongnya.
“Kehadirannya bersama kami ketika menyambut haka dan meluangkan masa bersama pasukan memberikan suntikan semangat tambahan, namun kami sudah melangkah ke hadapan dan saya tidak mahu ini menjadi tahap terbaik England kerana kami mahu terus berkembang,” katanya. – AFP











