SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim kini sedang mendapatkan rawatan di wad sebuah hospital di sini selepas mengalami demam.
Menurut sumber terdekat, bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami masalah kesihatan serius.
“Betul tak sihat. Keadaan beliau okay cuma demam sahaja. Setakat ini masih dirawat di wad,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd. Fasha Musthafa mengesahkan perkara tersebut.
“Untuk makluman, beliau kini sedang menerima rawatan di hospital dan Alhamdulillah, keadaannya dilaporkan semakin pulih.
“Terima kasih atas keprihatinan semua. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar beliau segera sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.
Perkembangan itu berlaku ketika Negeri Sembilan masih berdepan kemelut politik susulan polemik kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar.
Hari ini, Mingguan Malaysia melaporkan seramai 24 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan akan mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyatakan pendirian mereka berhubung sokongan terhadap Ismail.
Ismail sebelum ini dilaporkan beliau tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan berhubung surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada Tuanku Muhriz.
Perkara itu turut disahkan Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban, pada Jumaat lalu.
Pada 16 November lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengumumkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.
Bagaimanapun, pihak istana pada keesokan harinya memaklumkan ketulenan surat yang dihantar pada pukul 12.16 tengah malam itu masih belum disahkan.-UTUSAN.











