KUALA LUMPUR: Pimpinan dan akar umbi dalam Barisan Nasional (BN) perlu meninggalkan sikap mencari salah atau menuding jari sesama sendiri dalam usaha memperkukuh hubungan antara parti-parti komponen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepanjang lapan tahun memimpin BN, beliau menyaksikan hubungan dalam gabungan itu melalui pelbagai liku sehingga pernah hampir berantakan.
Katanya, terdapat pihak yang mahu melihat hubungan antara parti komponen BN runtuh, selain sikap saling menyalahkan sesama sendiri yang turut menjejaskan kekuatan gabungan itu.
“Cukuplah. Kalau betul kita mahu menang pilihan raya selepas ini, perangai mencari salah itu mesti kita tinggalkan. Kita perlu berdiri bersama dan bekerja bersama dalam satu keluarga besar, Keluarga Barisan Nasional,” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Ke-4 Perwakilan Pusat MCA Penggal Ke-30 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, perbezaan pandangan antara parti komponen tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memperkukuh BN, sebaliknya perlu ditangani menerusi perbincangan dan sikap saling menghormati.
Katanya, pemimpin UMNO, MCA dan MIC sejak negara mencapai kemerdekaan mampu mencari titik persamaan meskipun mewakili masyarakat berbeza, demi mencapai matlamat bersama.
“Kalau dahulu mereka boleh, kenapa sekarang kita tidak boleh buat perkara yang sama? Kita mungkin tidak bersetuju, tetapi kita tidak boleh kehilangan rasa hormat antara satu sama lain,” ujarnya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menambah, sebagai Pengerusi BN, beliau bertanggungjawab mendengar pandangan semua parti komponen dan memastikan sebarang perbezaan diselesaikan menerusi perbincangan.
Katanya, sekiranya terdapat perkara yang belum jelas atau belum dipersetujui, semua pihak perlu duduk semeja bagi mencari penyelesaian tanpa menangguhkan perkara berkenaan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyeru semua parti komponen BN supaya bersatu dan bekerja lebih keras bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kalau ada yang belum jelas, kita jelaskan. Kalau ada yang belum sepakat, kita duduk semeja dan cari jalan sekarang. Jangan tunggu. Kita tidak mempunyai masa,” katanya.
“Kalau betul kita mahu menang, kita kena buat cara untuk menang. Kalau kita turun berlawan, kita lawan sampai menang,” katanya. – UTUSAN











