PETALING JAYA: Penyanyi dan cef selebriti, Fazley Yaakob berpandangan gurauan yang menyentuh penampilan penyanyi, Aina Abdul tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka ketika mahu menghiburkan penonton dalam Festival Filem Malaysia 35, yang berlangsung pada malam semalam.
Fazley atau Ahmad Fadzli Yaakob, 48, berkata, Aina tetap mempunyai kedudukan penting dalam industri muzik tempatan dan wajar dihormati atas sumbangannya.
“Aina Abdul tetap nama penting dalam industri muzik tempatan. Mengatakan ‘kalau tiada pun tidak mengapa’ bukan cara untuk menjentik urat tawa hadirin,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Hantaran itu dipercayai merujuk kepada gurauan Datuk Afdlin Shauki mengenai Aina ketika mengacarakan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), yang juga mencetuskan perhatian dalam kalangan pengguna media sosial terutama peminat-peminat Aina, iaitu Ainations.
Tambah Fazley, gurauan mengenai busana seseorang artis tidak banyak bezanya dengan tindakan mempersendakan bentuk fizikal individu berkenaan.
“Memperlekehkan busana juga sama seperti ‘body shaming’. Zaman lawak yang kurang bijak sudah berlalu. Sudah tiba masanya kita beralih dengan lawak yang ada kebijaksanaan sikit,” katanya.
Dalam pada itu, Fazley turut memberikan contoh jenaka yang disifatkannya lebih bernas menerusi ucapan tahniah kepada Aina Abdul.
“Tahniah Aina Abdul! Tidak kisahlah mendapat tempat keempat, asalkan bukan empat tahun sekali baru kita mengadakan anugerah untuk menghargai bakat anak seni sendiri,” katanya.
Untuk rekod, Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM 35) ialah acara anugerah berprestij anjuran FINAS bagi mengiktiraf kecemerlangan industri perfileman tempatan.
Malam kemuncak anugerah ini dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson. – UTUSAN









