PEMBANGUNAN ladang solar berskala besar semakin menjadi pemacu baharu pelaburan tenaga bersih negara, didorong peningkatan permintaan sektor korporat terhadap bekalan elektrik daripada sumber boleh baharu.
Perkembangan itu bukan sahaja membuka peluang kepada pemaju tempatan untuk memperluas penglibatan dalam industri tenaga boleh baharu (TBB), malah berpotensi menarik pelaburan, membangunkan kepakaran teknologi dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan tenaga bersih serantau.
Pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), program Solar Berskala Besar (LSS) dan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) turut menyediakan ruang lebih luas kepada sektor swasta untuk meneroka peluang dalam industri berkenaan.
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana), Datuk Dr. Ir. Muhamad Guntor Tobeng berkata, perkembangan industri solar kini turut meluas didorong keperluan syarikat multinasional yang semakin mengutamakan penggunaan tenaga bersih bagi memenuhi sasaran kelestarian masing-masing.
Menurutnya, kerjasama Gading Kencana dengan Intel Malaysia bagi membekalkan Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) membuktikan permintaan terhadap tenaga hijau semakin berkembang, khususnya dalam kalangan syarikat antarabangsa.
“REC membolehkan syarikat membuktikan penggunaan tenaga boleh baharu bagi memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) tanpa perlu membangunkan infrastruktur solar sendiri.
“Perkembangan itu menunjukkan ladang solar berskala besar mempunyai potensi komersial yang semakin kukuh, terutama apabila Malaysia terus menarik pelaburan dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data dan pembuatan berteknologi tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, pembangunan ladang solar dijangka berkembang menerusi peningkatan kapasiti penjanaan, penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) serta model perniagaan baharu yang menghubungkan pemaju dengan pengguna tenaga korporat.
“Bagaimanapun, pertumbuhan sektor itu bergantung kepada beberapa faktor utama, termasuk kos pembangunan, akses pembiayaan, kepastian pulangan pelaburan dan jaminan permintaan terhadap tenaga yang dihasilkan.
“Dari sudut kos, pemilihan lokasi menjadi antara pertimbangan paling kritikal kerana tanah yang luas tidak semestinya sesuai untuk pembangunan ladang solar sekiranya jauh daripada nod grid atau tidak mempunyai kapasiti sambungan mencukupi.
“Kos pengambilan atau pajakan tanah, pemasangan panel solar, inverter, pencawang dan infrastruktur sambungan grid turut mempengaruhi daya maju projek.
“Jarak sambungan yang jauh boleh meningkatkan kos pembangunan selain menyebabkan kehilangan tenaga ketika penghantaran,” ujarnya.
Selain itu, Muhamad Guntor berkata, akses kepada pembiayaan kompetitif penting memandangkan pembangunan ladang solar memerlukan modal permulaan besar, sedangkan pulangan pelaburan lazimnya diperoleh dalam tempoh panjang.
“Institusi kewangan perlu menilai projek berdasarkan kekuatan kontrak pembelian tenaga, keupayaan teknikal pemaju, prestasi aset dan unjuran aliran tunai sepanjang tempoh operasi.
“Pembiayaan projek, sukuk hijau dan pelaburan institusi juga boleh diperluas sebagai alternatif kepada pembiayaan perbankan konvensional bagi menyokong pertumbuhan industri.
“Pada masa sama, kestabilan dasar kerajaan dan ketelusan peraturan perlu dipastikan bagi memberikan keyakinan kepada pelabur untuk membuat komitmen modal jangka panjang.
“Mekanisme seperti LSS dan CRESS menyediakan laluan pasaran kepada pemaju, namun kesinambungan dasar, struktur tarif serta caj penggunaan grid perlu jelas bagi mengurangkan ketidaktentuan pelaburan,” jelasnya.
Katanya, jaminan pembeli tenaga turut menjadi penentu kebolehbiayaan sesuatu projek kerana pemaju perlu memastikan tenaga yang dihasilkan dapat disalurkan dan dibeli pada harga munasabah.
“Dalam hal ini, peningkatan permintaan daripada syarikat multinasional, pusat data, industri semikonduktor dan sektor pembuatan membuka peluang pasaran lebih besar kepada pemaju solar tempatan.
“Menerusi CRESS, pengguna korporat berpeluang mendapatkan bekalan tenaga boleh baharu daripada pemaju melalui rangkaian grid sedia ada, tertakluk kepada syarat dan caj yang ditetapkan.
“Mekanisme itu membolehkan pemaju meneroka perjanjian pembelian tenaga jangka panjang atau Power Purchase Agreement (PPA) secara langsung dengan pengguna korporat.
“Kontrak yang menetapkan tempoh, harga dan jumlah tenaga dibekalkan dapat mengurangkan risiko pasaran, sekali gus meningkatkan keyakinan institusi kewangan untuk membiayai projek berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data, khususnya yang menyokong AI dan pengkomputeran awan, turut membuka peluang besar kepada industri solar tempatan.
“Bagaimanapun, keperluan pusat data terhadap bekalan elektrik yang stabil sepanjang 24 jam memerlukan tenaga solar digabungkan dengan sumber tenaga lain, sistem BESS dan pengurusan grid lebih cekap.
“Ini kerana penjanaan solar bergantung kepada keadaan cuaca dan hanya berlaku pada waktu tertentu, sekali gus memerlukan sistem sokongan bagi memastikan kesinambungan bekalan elektrik,” katanya. -UTUSAN











