SEOUL: Menteri Pendidikan Korea Selatan, Choi Kyo-jin meletak jawatan pada Ahad susulan skandal penipuan peperiksaan menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI) yang tercetus menjelang peperiksaan kemasukan universiti utama negara itu minggu lalu.
Kontroversi itu tercetus selepas calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan akauntan cukai kebangsaan mengaku menggunakan kamera kecil dan telefon pintar untuk mendapatkan keputusan hampir sempurna, hanya empat hari sebelum peperiksaan kemasukan universiti dikenali sebagai Suneung.
Pengakuan itu mencetuskan kebimbangan mengenai penggunaan AI untuk menipu dalam peperiksaan, sekali gus mendorong pihak berkuasa melaksanakan pelbagai langkah pencegahan.
Antara langkah yang diperkenalkan termasuk menyekat akses Wi-Fi awam di kawasan peperiksaan dan menampal pelekat pada butang pakaian calon bagi mengelakkan penggunaan peranti tersembunyi.
Bagaimanapun, Choi berdepan kritikan orang ramai kerana gagal meyakinkan masyarakat mengenai tahap persiapan pihak berkuasa, khususnya susulan kenyataannya tiga hari sebelum peperiksaan berlangsung.
Peperiksaan Suneung yang berlangsung selama sembilan jam setiap tahun itu merupakan antara ujian paling penting di Korea Selatan kerana keputusan yang diperoleh menentukan peluang calon memasuki universiti berprestij dan mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi.
Malah, pencapaian dalam peperiksaan itu turut dianggap mempengaruhi peluang seseorang mendapatkan pasangan hidup dalam masyarakat yang sangat kompetitif.
“Peperiksaan itu berakhir tanpa sebarang insiden besar… Namun, sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya tidak terkecuali daripada kritikan orang ramai bahawa persiapan sewajarnya gagal dilakukan lebih awal.
“Selepas peperiksaan selesai, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan dengan ini mengemukakan peletakan jawatan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Pejabat Presiden memaklumkan, Presiden Lee Jae Myung menerima peletakan jawatan itu.
Ketika ditanya dalam sesi pendengaran Parlimen pada Isnin sama ada beliau yakin pihak berkuasa mampu mengesan calon yang cuba menipu pada hari peperiksaan, Choi, 72, menjawab: “Disebabkan faktor usia, saya tidak yakin mampu berbuat demikian.”
Kenyataan itu segera mencetuskan kritikan orang ramai. Choi juga tidak menghadiri sidang media pada hari-hari menjelang peperiksaan yang berlangsung Khamis lalu, sebaliknya langkah pencegahan diumumkan oleh timbalan menteri.
Pihak berkuasa memaklumkan sebanyak 111 kes salah laku membabitkan penggunaan peranti elektronik dikesan sepanjang peperiksaan pada Khamis, dengan hampir separuh daripadanya dikenal pasti menerusi tiga amaran kecemasan yang dikeluarkan kerajaan bagi mengesan telefon pintar yang gagal diserahkan oleh calon.- AFP











