Boling Malaysia pecah empat rekod Asia

Boling Malaysia pecah empat rekod Asia

SKUAD boling negara meraih empat pingat emas pada Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-28 di Doha, Qatar, kelmarin. - IHSAN ABF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mencipta sensasi apabila memecahkan empat rekod Asia dan sekali gus meraih pingat emas acara berpasukan lima pemain lelaki dan wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-28 di Doha, Qatar, kelmarin.

Skuad negara turut cemerlang apabila menokok dua lagi emas menerusi acara All-Events lelaki dan wanita.

Pasukan lelaki yang dibarisi Izz Naqiuddin Putera, Muhammad Hazim Alihanafiah, Timmy Tan, Tun Hakim dan Rafiq Ismail mengesahkan pingat emas selepas melakukan keseluruhan 6,740 jatuhan pin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia memecahkan rekod Asia tiga permainan berpasukan yang sebelum ini dipegang Singapura (3,236 jatuhan pin) sejak 2015, apabila mencatat 3,404 jatuhan pin, selain memadam rekod enam permainan 6,663 jatuhan pin milik Korea Selatan yang dicipta pada tahun sama.

Hong Kong meraih pingat perak dengan 6,606 jatuhan pin selepas mengatasi Arab Saudi yang terpaksa berpuas hati meraih gangsa menerusi 6,589 jatuhan pin.

Sementara itu, dalam acara wanita, Malaysia yang dibarisi Faten Najihah Ahmad Faik, Sin Li Jane, Nur Syazwani Sahar, Adelia Nur Irwan dan Gillian Lim meraih emas setelah menyempurnakan 6,578 jatuhan pin.

Pasukan wanita juga berjaya memadam rekod Asia tiga permainan 3,344 jatuhan pin milik Singapura sejak 2015 serta mencipta rekod baharu enam permainan selepas memecahkan rekod 6,463 jatuhan pin dilakukan Korea Selatan yang bertahan sejak 2008.

Pasukan kebangsaan turut menamatkan penantian 24 tahun Malaysia untuk kembali memenangi acara berpasukan wanita selepas kali terakhir melakukannya pada edisi ke-17 Kejohanan Tenpin Boling Asia di Hong Kong pada 2002.

Korea Selatan meraih pingat perak dengan 6,540 jatuhan pin, manakala Singapura membawa pulang gangsa menerusi 6,181 jatuhan pin.

Dua lagi emas turut ditokok dalam acara All-Events melalui Nur Syazwani dan Rafiq setelah masing-masing melakukan 5,407 serta 5,690 jatuhan pin selepas mengharungi 24 permainan.

“Kami sangat gembira kembali memenangi acara berpasukan, tahun lepas kami di kedudukan kedua, pada masa sama pasukan wanita juga menang emas, jadi emas berganda buat Malaysia. Harap dapat kekalkan rentak dalam acara Masters,” kata Rafiq. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini