Arteta haramkan pemain Arsenal dalam FPL

Arteta haramkan pemain Arsenal dalam FPL

MIKEL Arteta. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Permainan Fantasy Premier League (FPL) kini turut menjadi perhatian Mikel Arteta apabila pengurus Arsenal itu tidak mahu pemilihan pemain dalam permainan fantasi berkenaan menjadi ‘lubang’ yang membocorkan rahsia kesebelasan utama pasukannya.

Arteta mengambil langkah tegas dengan melarang pemain Arsenal memilih rakan sepasukan sendiri dalam FPL selepas pemilihan tertentu sebelum ini menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan maklumat kesebelasan utama terdedah lebih awal.

Insiden membabitkan pemain sayap, Christos Tzolis yang memberikan gambaran dia bakal diturunkan apabila memasukkan dirinya dalam pasukan FPL, menjadi antara perkara yang menguatkan kebimbangan terhadap risiko tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak kira sama ada Christos (Tzolis), pemain lain ataupun anak-anak saya sendiri, mereka sentiasa bertanya kepada saya mengenai kesebelasan utama pasukan untuk setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Sebenarnya perkara seperti ini patut dirahsiakan kerana pasukan lain mampu mengambil kesempatan, dan kami sudah pun mengambil langkah dengan tidak membenarkan pemain memilih mereka sendiri dalam FPL,” katanya.

Bagi Arteta, isu tersebut bukan sekadar permainan fantasi yang melibatkan jutaan peminat bola sepak, sebaliknya boleh menjadi ruang tidak sengaja untuk pihak lawan mengesan petunjuk mengenai perancangan taktikal sebelum sepak mula.

Bagaimanapun, pengendali itu mengakui larangan berkenaan tidak mampu mengawal sepenuhnya tindakan setiap individu kerana FPL tetap menjadi pilihan peribadi, namun Arsenal memilih untuk menetapkan batas bagi melindungi maklumat pasukan.

“Perkara seperti ini tidak boleh dihalang sepenuhnya kerana ia hak setiap orang, tetapi kami perlu mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan maklumat pasukan tidak terdedah kepada pihak lain,” katanya.

Pendekatan Arsenal itu bukan sesuatu yang asing dalam EPL apabila Chelsea sebelum ini turut mengambil langkah serupa selepas pemilihan pemain dalam FPL secara tidak sengaja menimbulkan risiko mendedahkan maklumat menjelang perlawanan. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini