WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) memperketat sekatan laut terhadap Iran, memberi amaran kapal yang menerima muatan dari negara itu melalui pemindahan kargo antara kapal berdepan kemungkinan tindakan ketenteraan.
Markas Pusat AS (CENTCOM) dalam satu notis berkata, kapal yang menerima muatan daripada kapal yang mengambil kargo di pelabuhan Iran atau sepanjang pesisir pantai negara itu boleh dianggap sebagai pihak yang mengelak sekatan laut.
Langkah itu bertujuan menutup ruang yang sebelum ini membolehkan sebahagian produk petroleum Iran memasuki pasaran antarabangsa, meskipun Washington melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan dan eksport minyak negara itu sejak pertengahan Julai.
Perkembangan itu berlaku ketika Teheran mencari jalan untuk menghidupkan semula eksport minyaknya, manakala Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berulang kali memberi amaran akan membalas sebarang serangan terhadap kapal negara itu.
Penganalisis berkata, meskipun Iran berkemungkinan tidak mampu memecahkan sekatan itu melalui kekuatan ketenteraan, negara berkenaan boleh menjadikan penguatkuasaannya ‘mahal’ dari segi politik dan ekonomi kepada Washington, sekali gus meningkatkan risiko konfrontasi lebih luas di rantau itu.
“Ini berpotensi menjadi antara senario peningkatan ketegangan paling berbahaya yang kita saksikan sejak beberapa minggu kebelakangan ini,” kata Pakar Pengajian Keselamatan King’s College London, Prof. Madya Andreas Krieg kepada Al Jazeera.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, Washington akan terus menekan ekonomi Iran sehingga Teheran mematuhi perjanjian.
Dalam temu bual bersama CNBC, Bessent menyifatkan Operasi Economic Outcast terhadap Iran sebagai pengasingan ekonomi terbesar yang pernah dikenakan terhadap mana-mana negara dalam sejarah.
Selain sekatan laut oleh Tentera Laut AS terhadap pelabuhan Iran, Jabatan Perbendaharaan turut mengambil langkah memutuskan hubungan kewangan negara itu dengan dunia luar menerusi sekatan menyeluruh terhadap sektor penerbangan, perkapalan, perbankan dan pertukaran mata wang digital.
“Buat pertama kali dalam sejarah sejak Iran mula mengeluarkan minyak, tiada minyak negara itu di laut untuk dibeli sesiapa. Apa yang kita saksikan ialah dunia mampu meneruskan kehidupan tanpa minyak mentah Iran,” kata Bessent.
Bessent baru-baru ini mengiringi Presiden, Donald Trump ke China bagi menghadiri pertemuan dengan Presiden, China, Xi Jinping dan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Beliau berkata, ketiga-tiga kuasa besar itu mencapai kata sepakat bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz merupakan perkara utama.
Memandangkan China merupakan antara pembeli utama minyak Iran, manakala Russia mempunyai hubungan penting dengan Teheran, pemerhati berharap pertemuan itu mampu membantu membawa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan.











