KUALA LUMPUR: Generasi muda diingatkan supaya tidak menjadi seperti ‘kaduk naik junjung’ apabila diberikan peluang, ruang dan kebebasan sehingga melupakan akar tempat berpaut, titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda bertitah, kemajuan dan kebebasan yang dinikmati tidak seharusnya menjadikan seseorang angkuh sehingga sewenang-wenangnya memperlekehkan warisan sendiri, mempertikaikan institusi serta meremehkan asas kenegaraan yang selama ini memayungi kehidupan.
“Sesungguhnya kebebasan bukanlah lesen untuk bertindak sesuka hati. Keberanian bukan alasan untuk berlaku biadab dan kebijaksanaan bukan diukur melalui kelantangan seseorang melawan arus atau mempertikaikan segala perkara tanpa asas ilmu dan fakta.
“Tidak semua yang melawan arus itu pejuang. Tidak semua yang lantang bersuara itu benar dan tidak semua yang gemar mempertikaikan sesuatu itu bijak,” titah baginda ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Pro-Canselor UniKL, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Baginda bertitah, perbezaan pandangan dan teguran membina tidak pernah ditolak, namun setiap kritikan perlu berasaskan fakta, disampaikan dengan adab serta tidak mengabaikan pertimbangan sewajarnya.
“Jangan menjadi generasi yang hebat menggenggam segulung ijazah semata-mata tetapi gagal memahami harga sebuah kedaulatan.
“Gunakanlah ilmu untuk membina negara, menyatukan masyarakat bukannya meruntuhkan perpaduan, menyemarakkan permusuhan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan graduan supaya memiliki semangat patriotisme, teguh kesetiaan kepada raja dan negara serta luhur penghormatan terhadap agama dan Perlembagaan.
Dalam titah sama, baginda mengingatkan graduan supaya tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik sehingga mengabaikan pembentukan akhlak ketika mendepani cabaran dunia moden.
“Saya tidak mahu melihat generasi yang cemerlang di dewan kuliah ini tetapi kecundang di medan akhlak. Tinggi ijazahnya tetapi rendah pekertinya. Luas pengetahuannya tetapi sempit pertimbangannya,” titah baginda.
Baginda bertitah, graduan perlu menjadikan agama sebagai pedoman, ilmu sebagai penyuluh jalan dan akhlak sebagai benteng dalam mendepani cabaran akhir zaman.
Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor pertama UniKL dari 1 Julai 2004 hingga 22 Ogos 2025, turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kepemimpinan baginda dalam membangunkan universiti berkenaan.
Dalam majlis sama, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dimasyhurkan sebagai Canselor baharu UniKL bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah yang menerajui universiti itu selama lebih 21 tahun.










