WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengenakan cukai dan penalti berat terhadap syarikat AS yang membina pusat data di luar negara, sambil menegaskan beliau mahu pelaburan dalam kemudahan itu kekal di negara berkenaan.
Ketika bercakap kepada pemberita di Rumah Putih, Trump memberi amaran syarikat yang mahu membina pusat data di luar negara akan berdepan akibat kewangan yang besar selain menggesa firma teknologi melabur dalam pembangunan infrastruktur domestik.
“Kita tidak akan membenarkan syarikat kita membina pusat data di luar negara,” katanya.
Trump mendakwa pusat data yang dibina di luar negara boleh memberi China akses kepada infrastruktur pengkomputeran yang diperlukan untuk membangunkan kecerdasan buatan (AI), sekali gus berpotensi menjejaskan daya saing teknologi AS.
“Kita tidak akan membenarkan pusat data dibina di negara lain kerana China akan menguasai kesemuanya, dan kita tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.
“Kita akan mengenakan penalti yang amat berat terhadap syarikat yang cuba berbuat demikian. Mereka kini mahu membina sebuah pusat data di Finland, tetapi kita tidak akan membenarkannya,” katanya.
Menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 November lalu, Trump mengetengahkan manfaat pusat data kepada negara itu, ketika ramai ahli Parti Demokrat cuba meraih sokongan pengundi yang lantang membantah pembinaan kemudahan berkenaan.
Parti Demokrat berikrar mengambil pendirian lebih tegas terhadap pembinaan pusat data baharu, khususnya di kawasan berpenduduk padat.-AGENSI











