Shelton mara ke separuh akhir ATP Finals, Fils tersingkir

Shelton mara ke separuh akhir ATP Finals, Fils tersingkir

BEN Shelton melakukan pukulan balas ketika menentang wakil Sepanyol, Rafael Jodar pada aksi kejohanan ATP Finals di Turin, Itali, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TURIN: Jaguh tenis Amerika Syarikat (AS), Ben Shelton mengesahkan tempat ke separuh akhir ATP Finals selepas pemain Perancis, Arthur Fils gagal menewaskan Alexander Zverev dalam aksi terakhir Kumpulan John McEnroe, semalam.

Shelton terlebih dahulu menewaskan pemain Sepanyol, Rafael Jodar 7-6 (10-8), 7-5 untuk meletakkan Fils dalam situasi wajib menang dua set ke atas pemain No.1 dunia itu bagi merebut slot kedua kumpulan.

Bagaimanapun, Fils gagal memenuhi tuntutan itu apabila tewas set pertama 4-6 dalam tempoh 35 minit sebelum akur 4-6, 6-7 (6-8) kepada Zverev untuk tersingkir daripada kejohanan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Zverev yang belum kehilangan sebarang set di Turin akan bertemu pemain yang menduduki tempat kedua dalam satu lagi kumpulan pada separuh akhir, dengan lawannya ditentukan menerusi pertembungan Daniil Medvedev dan Frances Tiafoe, Jumaat ini.

Bagaimanapun, pemain Jerman itu turut berdepan kebimbangan kecederaan buku lali ketika penghujung perlawanan selepas pernah mengalami kecederaan ligamen pada bahagian sama ketika Terbuka Perancis 2022.

“Kecederaan buku lali itu malangnya mungkin akan terus menghantui saya sehingga penghujung karier susulan kecederaan yang dialami empat tahun lalu.

“Saya akan melakukan segala yang termampu bersama ahli fisioterapi dan pasukan untuk memastikan saya bersedia serta bebas daripada kesakitan pada Sabtu,” katanya.

Shelton yang turut menyertai Zverev dan Carlos Alcaraz dalam kelompok empat terbaik, terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Jodar yang memberikan tentangan sengit termasuk memperoleh dua mata set ketika tie-break set pertama. – AGENSI

KAPSYEN

BEN Shelton melakukan pukulan balas ketika menentang wakil Sepanyol, Rafael Jodar pada aksi kejohanan ATP Finals di Turin, Itali, semalam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini