Jika berlaku gangguan seksual, mangsa perlu tampil buat laporan – Sweet Qismina - Utusan Malaysia

Jika berlaku gangguan seksual, mangsa perlu tampil buat laporan – Sweet Qismina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pelakon, Sweet Qismina berpendapat individu yang berdepan gangguan seksual atau sebarang bentuk salah laku perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat laporan melalui saluran undang-undang.

Menurut Sweet, tindakan undang-undang merupakan langkah yang sepatutnya dipertimbangkan berbanding meluahkan rasa tidak puas hati atau mendedahkan sesuatu perkara menerusi media sosial.

Bagaimanapun, Sweet mengakui setiap individu mempunyai emosi dan perasaan tersendiri, lebih-lebih lagi apabila berdepan situasi yang menyakitkan hati sehingga mendorong mereka untuk menyuarakan perkara berkenaan kepada umum.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejujurnya, kita manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Ada kalanya kita terlalu mengikut emosi sehingga merasakan perlu menyuarakan hak sendiri menerusi media sosial.

“Namun, apabila melibatkan media sosial, kita perlu menguatkan kesabaran kerana akhirnya akan ada individu yang membenci, ada yang merasakan diri mereka lebih arif dan tidak kurang juga yang mempertikaikan setiap tindakan kita.

“Kalau ditanya kepada Sweet, sebaik-baiknya kita mengambil tindakan melalui saluran undang-undang. Cuma, dalam keadaan tertentu, kita mungkin sukar mengawal emosi dan terdorong untuk meluahkan apa yang terbuku di hati,” katanya.

Sweet berkata, dia sendiri pernah melalui fasa meluahkan sesuatu perkara menerusi media sosial sebelum mendirikan rumah tangga, namun memilih untuk memadam hantaran berkenaan selepas menyedari kemungkinan kesan daripada tindakannya.

“Sweet pun dahulu, sebelum berkahwin, pernah juga meluahkan sesuatu menerusi media sosial. Mungkin ketika itu nama Sweet tidak sebesar orang lain, jadi perkara berkenaan tidak begitu mendapat perhatian.

“Apabila mula terfikir mengenai kemungkinan yang boleh berlaku, Sweet mengambil keputusan untuk memadam hantaran berkenaan sebelum keadaan menjadi lebih serius.

“Mungkin ada individu yang merasakan mereka perlu meluahkan dahulu apa yang terbuku di hati sebelum akhirnya menyedari tindakan itu kurang tepat dan memilih untuk memadamkan hantaran berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Sweet berpendapat setiap individu perlu lebih berhati-hati sebelum berkongsi perkara yang boleh menjejaskan maruah serta nama baik diri sendiri dan keluarga di media sosial.

Katanya, prinsip menjaga aib orang lain wajar dijadikan panduan kerana setiap individu juga mengharapkan maruah mereka dihormati.

“Pada pandangan Sweet, sebaik-baiknya kita mengelakkan perkara seperti itu kerana Sweet percaya jika kita menjaga aib orang lain, orang juga akan menjaga aib kita.

“Jadi, kalau boleh, elakkan daripada melakukan sesuatu di media sosial yang akhirnya boleh memburukkan nama sendiri dan keluarga. Bagaimanapun, kita tetap manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, terutama apabila hati dan perasaan terlalu terluka.

“Ada kalanya kita terlalu mahu orang lain tahu bagaimana sikap seseorang sehingga merasakan perkara itu perlu didedahkan kepada umum. Namun, apabila sesuatu sudah berlaku, kita tidak boleh mengundurkan masa,” katanya.

Tambah Sweet, langkah terbaik selepas menyedari kesilapan adalah dengan memohon maaf dan berusaha memperbaiki diri agar perkara sama tidak berulang.

“Jadi, apa yang boleh kita lakukan? Kita minta maaf dan cuba memperbaiki diri. Itu jalan terbaik kerana seperti yang Sweet katakan, kita semua manusia biasa dan melakukan kesilapan adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Apa yang penting, kita perlu berusaha untuk berubah dan memperbaiki segala perkara negatif dalam diri. Jangan hanya melihat kesilapan yang sudah dilakukan, sebaliknya jadikan pengalaman itu sebagai pengajaran untuk menjadi individu yang lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini