TikTok lancar alat kesan deepfake tokoh terkenal

TikTok lancar alat kesan deepfake tokoh terkenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: TikTok pada Jumaat mengumumkan pelancaran global alat pengesanan deepfake bagi tokoh terkenal, ketika platform media sosial itu berusaha membendung penyebaran maklumat palsu yang dijana kecerdasan buatan (AI) menjelang beberapa pilihan raya di Eropah tahun depan.

Alat yang dinamakan likeness detection tool itu membolehkan ahli politik dan pemilik akaun dengan jumlah pengikut yang ramai di TikTok mengesan serta melaporkan kandungan yang dijana AI menggunakan imej mereka tanpa kebenaran. Pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat.

Deepfake merujuk kepada teks, imej, video dan audio yang kelihatan seperti kandungan sebenar tetapi dihasilkan atau dimanipulasi menggunakan AI.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi TikTok yang dimiliki syarikat berpangkalan di China, ByteDance, alat itu merupakan sebahagian daripada usaha penting melindungi proses pilihan raya daripada penyebaran maklumat palsu di seluruh Eropah tahun depan, termasuk di Itali, Perancis dan Greece.

“Melindungi integriti pilihan raya adalah antara tanggungjawab paling penting yang dipikul TikTok,” kata Ketua Hubungan Kerajaan TikTok bagi Pilihan Raya Eropah, Francesca Scapolo pada acara keselamatan dan inovasi syarikat itu di London, Khamis lalu.

Beliau berkata, alat pengesanan berkenaan akan membantu ahli politik dan kerajaan mengenal pasti kandungan yang berkemungkinan dijana AI dan dikongsi tanpa kebenaran mereka.

Kesatuan Eropah (EU) mula melaksanakan peraturan ketelusan kecerdasan buatan secara menyeluruh pada Ogos lalu, termasuk mewajibkan kandungan deepfake dan bahan lain yang dijana AI dilabelkan.

TikTok sejak beberapa tahun lalu mewajibkan pencipta kandungan melabelkan imej, audio dan video realistik yang dihasilkan menggunakan AI.

AI semakin memainkan peranan penting dalam penyederhanaan kandungan media sosial ketika pengendali platform berusaha mengurangkan kos pemeriksaan oleh pekerja manusia terhadap kandungan seperti pornografi, maklumat palsu dan ucapan kebencian.

YouTube turut membangunkan alat pengesanan seumpamanya bagi membolehkan pencipta kandungan mengesan video dijana AI yang memaparkan individu menyamar sebagai mereka.

AFP bersama lebih 12 organisasi pemeriksa fakta lain, menerima bayaran daripada TikTok di beberapa negara untuk mengesahkan video yang berkemungkinan mengandungi maklumat palsu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini