MOSCOW: Russia bersedia mencari jalan kompromi berhubung isu keselamatan Eropah, menegaskan halangan untuk membentuk seni bina keselamatan blok itu bukan sesuatu yang mustahil untuk diatasi.
Presiden Russia, Vladimir Putin berkata demikian kepada wartawan di Shenzhen, China, selepas pertemuan tiga hala bersejarah bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping.
Presiden Russia itu turut menyentuh isu wilayah, termasuk yang berkaitan dengan konflik Ukraine.
“Kami akan mencari jalan kompromi yang saya fikir boleh dicapai. Semua pihak perlu melihat realiti di lapangan. Perkara itu terpakai kepada Moscow dan rakan rundingan,” katanya ketika menjawab soalan editor BBC Russia, Steve Rosenberg.
Putin berkata, Moscow tidak berhasrat meneruskan konflik di Ukraine dan penamatan pertempuran kini bergantung kepada kesediaan Kyiv untuk mencapai persetujuan.
“Kami tidak berhasrat meneruskan konflik ini. Namun, persoalannya kini bukan lagi terletak pada kami, sebaliknya pihak Ukraine,” katanya.
Menurut Putin, Russia sudah menerima satu cadangan kompromi yang dikemukakan dengan dorongan AS.
Beliau mempersoalkan kesungguhan Kyiv untuk terus menguasai baki 10 peratus wilayah Donbass.
“Ini juga persoalan mengenai rejim yang dibawa berkuasa selepas rampasan kuasa, namun kami bersedia untuk berunding dengan mereka,” katanya.
Putin menegaskan Russia tidak akan membuat sebarang pengorbanan, namun bersedia mencari persetujuan yang boleh diterima bersama.
“Kami hanya memerlukan pihak lain yang terlibat dalam proses ini mengiktiraf realiti di lapangan dan turut menerima kompromi berkenaan,” katanya.
Beliau menambah, tiada halangan yang tidak dapat diatasi untuk mencapai persetujuan.











