WASHINGTON: Pemangku Setiausaha Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Hung Cao mendedahkan tentera laut negara itu menggunakan peluru berpandu yang diklasifikasikan sebagai sudah ‘luput’ atau tamat tempoh dalam perang dengan Iran.
Cao membuat pendedahan itu ketika memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera Senat pada Selasa, berhubung pencalonannya untuk dilantik sebagai Setiausaha Tentera Laut.
Beliau berkata, sebahagian peluru berpandu yang digunakan dalam Operasi Epic Fury dan perang Iran sebelum ini diklasifikasikan sebagai tidak sesuai untuk digunakan.
“Banyak peluru berpandu yang digunakan dalam Operasi Epic Fury berjaya kami kodkan semula. Ia dikategorikan sebagai kod Echo dan kod Foxtrot, yang bermaksud sudah luput.
“Namun, saya berasal daripada keluarga miskin. Barang seperti roti tidak semestinya perlu dibuang apabila sudah tamat tempoh. Hanya perlu disapu sedikit air, dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro selama 15 saat dan ia boleh digunakan semula,” katanya.
Menurut manual Agensi Logistik Pertahanan AS, kod Echo dan Foxtrot merujuk kepada peralatan yang diklasifikasikan sebagai tidak boleh digunakan, tetapi masih boleh dibaiki.
Kod Echo secara khusus merujuk kepada peralatan yang hanya memerlukan kerja pembaikan minimum untuk dipulihkan, manakala kod Foxtrot merujuk kepada peralatan yang memerlukan pembaikan dan baik pulih.
Tentera AS sebelum ini berdepan kebimbangan mengenai kemungkinan kekurangan bekalan peluru berpandu selepas menggunakan sebahagian besar peluru berpandu kruis jarak jauh Tomahawk dalam serangan awal Operasi Epic Fury dan sepanjang perang dengan Iran.
Pada Mac lalu, The Washington Post melaporkan tentera AS menggunakan sekurang-kurangnya 850 peluru berpandu Tomahawk selepas bulan pertama Operasi Epic Fury.
Ketika itu, Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) menganggarkan AS masih mempunyai kira-kira 3,000 peluru berpandu berkenaan dalam simpanan.
AS dilaporkan memerlukan tempoh dua hingga tiga tahun untuk menggantikan 850 peluru berpandu yang dipercayai sudah dilancarkan.
Pada April, Jabatan Pertahanan AS meminta kelulusan Kongres untuk memperuntukkan tambahan AS$3 bilion (RM12.34 bilion) bagi menambah semula stok peluru berpandu Tomahawk menerusi permohonan bajet jabatan itu bagi tahun fiskal 2027.
Namun, Pejabat Akauntabiliti Kerajaan AS (GAO) berkata, Pentagon masih belum mempunyai pelan menyeluruh untuk menangani masalah kekurangan bekalan peluru yang berlarutan.
Jabatan Pertahanan AS (DOD) juga belum menetapkan mana-mana pejabat atau entiti khusus untuk menyelaras usaha menambah baik pengurusan inventori peluru.
Menurut GAO, Pentagon sudah mengambil beberapa langkah bagi menangani kekurangan itu, termasuk menubuhkan kumpulan kerja untuk mengenal pasti kaedah meningkatkan pengeluaran peluru.
“Tanpa pelan yang jelas, DOD akan menghadapi kesukaran untuk menentukan sama ada usaha meningkatkan pengeluaran peluru benar-benar memenuhi keperluan seluruh jabatan,” menurut GAO.-AGENSI











